Skip to main content

إرم ذات العماد (Retold)

 

Kota Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi. Cerita ini ialah olahan dari kisah benar.



PADANG pasir luas menekuk setiap pandangan. Udara dari utara menghembus debu tinggi. Membuatkan sesekali pandangan jadi kabur dan tidak jelas. Cuaca sangat panas namun itu tidak menghalangnya dari terus mengorak langkah kudanya di pepasir halus ini.

Dia sudah begitu lama berada di sini. Mengayuh kuda yang tampak mula keletihan dek teriknya mentari. Matanya memicing ke serata kawasan namun tetap tidak kelihatan apa-apa melainkan fatamorgana. Padang pasir di penghujung benua Afrika ini sangat luas seolah tidak bersempadan.

Namun dia tetap tidak berjumpa dengan apa yang dicari. Dia cuma mahu mencari kotak 'majikan'nya yang tercicir di sini. Kata 'majikan'nya, kotak itu sangat berharga dan sangat merbahaya jika jatuh di tangan yang salah. Sebagai pembantu yang setia, mendengar sahaja perkataan bahaya keluar dari mulut 'majikan'nya itu buat dia terus menunggang kuda menuju ke sini.

Beberapa hari lalu, mereka baru sahaja pulang dari sebuah peperangan besar yang melibatkan antara Kerajaan Byzantin dan Kerajaan Jazeera. Dia turut hadir peperangan itu menemani 'majikan'nya yang pastinya mengetuai peperangan tersebut. Seperti yang maklum, peperangan itu akhirnya ditutup dengan markah seri. Jumlah kematian dua-dua pihak hampir sama. Jazeera akhirnya berundur dari menyerang, pulang ke kota. Namun tiada siapa tahu, sebenarnya peperangan itu belum pun berakhir. Masih jauh perjalanan mereka.

Dia menghela nafas. Berhembus hangat dalam kain yang menutup separuh wajahnya. Kotak itu masih tidak kelihatan di mana-mana. Apatah lagi pasir di sahara ini sering berubah dan mungkin sahaja kotak itu tenggelam di dalam pasir.

Entah dari mana - ketika sedang dia melangkah perlahan mencari apa-apa sahaja yang berupa kotak - ribut pasir meniup kencang dari arah utara. Menutup pandangannya dan juga pandangan kudanya sehingga akhirnya kuda tersebut terlompat tinggi mungkin kerana terkejut. Tanpa apa-apa kesediaan, dia terjatuh dari kuda lantas terguling ke pasir panas. Sebagai panglima terlatih pastinya jatuh itu tidak pun menyakitkan tubuhnya, malah dia terus bangkit menyambar tali kekang kuda agar kuda tidak lari. Kuda tersebut masih meringik kuat bagai ada merbahaya sedang mara. Dia segera menenangkan kudanya dari terus cemas. Ribut pasir semakin tinggi dan tebal. Dia hampir sahaja tersalah langkah jika tidak benar-benar bertahan di atas pasir lembut ini. Matanya mula pedih maka dia pejamkan mata dari dimasuki habuk pasir. Leher kuda dipeluk erat. Tidak mahu terlepas.

Sejenak, ribut pasir hilang. Bertukar menjadi angin sepoi-sepoi bahasa. Dia pantas membuka mata. Kudanya sudah tenang. Bergerak menghentak ladamnya ke tanah. Namun aneh sekali, bunyi hentakan itu seperti hentakan pada batu licin dan bukan pada pepasir lembut. Dia pantas memandang ke bawah. Berkerut sedikit dahinya bila melihat kakinya sedang berpijak pada batu segi empat yang tersusun di lantai. Warna batu ini seperti kaca yang tidak telus. Seperti perak?

Dia spontan mengangkat wajah ke atas. Hendak melihat apa di hadapannya apabila terasa suasana mula berbeza. Tiada lagi bau padang pasir, yang ada hanyalah bau segar lagi nyaman.

Tidak terkata dia ketika ini, merenung pemandangan di hadapan. Tubuhnya kaku tidak bergerak. Kudanya pula sudah diam tidak berbunyi. Bagai turut terkejut dengan apa yang terpampang di depan mata.

Di hadapannya ialah sebuah pintu gerbang yang sangat besar. Dibina daripada emas sepenuhnya. Ukiran-ukiran yang sangat halus terlihat jelas di pintu tersebut bagai menulis bahasa-bahasa purba. Di sekelilingnya terdapat dua bongkah batu yang tinggi, mengapit pintu gerbang gergasi itu. Bongkah batu itu pula penuh dengan batu permata merah yang masih segar warnanya seperti darah.

Air jernih kelihatan mengalir dari celah batu-batu besar di bongkah besar tadi. Apabila dia memerhati sekeliling, dia dapati dirinya sedang berada di tengah lorong yang dinaungi dua bongkah batu besar yang subur dengan batu zabarjad itu. Apabila dia memandang ke belakang, dia dapat melihat padang pasir yang dia duduki tadi. Mulalah dia diserang hairan. Di tengah padang pasir ini ada tempat sebegini?

Furqan mula mengorak langkah, memimpin kudanya dan seterusnya diikat pada satu pohon kecil di situ. Kuda tersebut terus minum air dari celah batuan yang mengalir membentuk sungai kecil itu. Dahaga sungguh.

Dia tidak menyertai untuk minum air tersebut. Terus melangkah ke pintu gerbang emas ini. Hulu pedang digenggam penuh kesediaan. Tercetus hairan dalam dirinya apabila tiada siapa pun di sini. Malah suasana di sini sangat sepi sehingga bunyi unggas juga tidak kedengaran. Dia menyentuh pintu tersebut. Cuba menolak. Sesekali mendongak memerhati jika ada sesuatu muncul dari atas. Namun tetap tiada. Dia cuma hendak bersedia dengan apa-apa kemungkinan. Apabila melihat tiada apa pun yang berlaku, dia pun dengan berani menolak pintu tersebut dengan lebih kuat. Lantas dengan daya tolakan itu, pintu pun terbuka luas seluas-luasnya. Bagai hendak mempersilakan ketumbukan tentera seramai jutaan orang. Sedangkan yang berdiri di tengah bukaan itu hanyalah sesusuk lelaki bernama Furqan yang tergamam dengan pemandangan di hadapan.

"Allahuakbar.." spontan dia meluahkan lafaz takbir. Menggigil tangannya sebaik melihat semua ini.

Ianya sebuah kota. Kota yang subur menghijau yang penuh dengan pepohon indah, punya air terjun membelah bukit tinggi di hujung sana, mengalir terus ke serata kota ini. Dan yang buat Furqan tidak percaya ialah beratus mahligai terbina gah di setiap sudut kota ini. Dan semua mahligai itu diperbuat dari emas dan perak. Sesetengah mahligai dibina di atas sungai dan sesetengah lain dibina di atas bukit. Semuanya indah dan mewah. Memukau mata dan memegunkan pandangan manusia.

Kakinya melangkah menuruni tangga, bila dia melihat tangga ini; ianya juga diperbuat dari emas. Furqan mengucap istirja berkali-kali ketika berjalan di tengah kota ini. Tiada kata mampu dia ucapkan. Semua bangunan dibina dengan emas dan perak. Permata-permata berada di merata tempat. Sesetengah mahligai punya kubah dari zamrud dan zabarjad. Semuanya melimpah dengan kemewahan dan keemasan.

Sehinggalah langkah Furqan terhenti pada sebuah mahligai yang terbina betul-betul di tepi air terjun tinggi. Mahligai paling besar di antara yang lain. Berada betul-betul di tengah kota, dikelilingi sebuah taman besar yang dipenuhi pohon hijau, taman itu kemas bagai ada yang merapikannya selalu. Melihatkan itulah Furqan pantas menghunus pedangnya. Berjalan penuh berhati-hati memijak bata perak di bawah tapak kasut butnya. Berada di sini entah kenapa dia rasa sangat sesak. Walaupun kota ini sangat cantik dan memukau seperti sebuah syurga namun itu semua langsung tidak menenangkan hatinya.

Aneh. Tiada langsung hidupan di kota bagai syurga ini. Malah burung pun tidak kelihatan. Benar-benar sepi. Indah namun sepi.

Sebaik sampai di tangga istana terbesar itu, dia menapak naik. Tangganya diperbuat dari perak juga. Tinggi dan sangat besar. Tangga ini membawa ke anjung gergasi yang tiangnya semua dari emas yang berkilat. Malah jika dilihat sebenarnya seluruh istana ini memang dibina dari emas dan perak. Mutiara dan zamrud. Zabarjad dan yaqut.

Furqan sampai di anjung gergasi - berhadapa dengan pintu utama, sangat besar sama seperti pintu gerbang di hadapan kota tadi. Mengingatkan pintu gerbang itu Furqan menoleh. Hendak mengukur jarak istana ini dengan pintu tadi. Serta merta pandangannya disajikan dengan sebuah syurga yang penuh dengan istana-istana dan pepohon hijau. Sungai yang mengalir jernih di bawah mahligai-mahligai. Taman demi taman bunga yang memukau pandangan.

Sungguh kota ini patut dipanggil syurga.

Namun syurga yang tidak berpenghuni.

Furqan kemudian memandang pintu istana terbesar itu kembali, ditolak sedikit lalu serta merta ia terbuka sendiri. Tertolak dua daun pintu sebesar bangunan empat tingkat itu ke dalam, mempersilakan Furqan untuk masuk. Melihatkan kawasan dalam istana buat Furqan lebih terpegun. Lidahnya memang sudah terkunci tika ini.

Jika sebelum ini dia hanya mendengar berita tentang syurga di akhirat sana, kini dia seolah melihat semua itu dengan matanya sendiri di dunia ini! Semuanya emas. Semuanya perak. Tiada langsung yang tampak tidak bernilai. Semuanya bernilai. Beharga jutaan dinar. Tidak berpenghujung kemewahannya. Sehingga Furqan mula diserkup rasa seram dengan semua kemewahan ini. Apabila dia melangkah masuk ke dewan utama yang dihiasi berbagai perhiasan emas dengan lampu juga daripada emas dan lantai daripada kaca jernih - semua itu buat dia menggenggam hulu pedang dengan lebih kuat.

Ini bukan lagi syurga pada tatapannya, tapi ini ialah neraka..

Neraka yang dipenuhi harta dunia.

Maka dengan itu, dia pun menyimpan pedangnya lalu keluar dari istana ini. Melihat dalaman istana besar itu sahaja sudah buat tangan yang selama ini membunuh musuh dengan gagah - menggigil ketakutan. Dia terus berjalan pantas sehingga bertemu pintu gerbang utama. Tangga dipanjat pantas untuk keluar. Namun sesaat dia terfikir sesuatu membuatkan langkahnya mati.

Langsung dia jeda di tengah tangga itu dengan berbagai perkara mencucuk benaknya.



"PANGLIMA Furqan sudah pulang!"

Dengan laungan dari atas menara itu, pintu gerbang istana pantas dibuka mempersilakan panglima terulung tersebut. Dari jauh terlihat sang sateria berkuda memacu pantas tunggangannya ke arah pintu masuk, tanpa henti sateria lengkap berzirah dengan wajah ditutup itu terus menghentak pinggul kudanya sehingga tunggangannya semakin pantas berlari masuk ke pintu gerbang. Sekelip mata sahaja Furqan melepasi pintu gerbang itu.

Dia ada berita menakutkan hendak dikongsi dengan 'majikan'nya. Maka dia tidak akan berlengah.

Sebaik Furqan melepasi, pintu gerbang kembali ditutup. Manakala Furqan sudah pun sampai di perkarangan istana dengan nafas sedikit sukar. Kudanya diperlahankan sebaik berada di hadapan tangga istana. Dia turun dari kuda, menarik kain dari wajahnya. Menyerlahkan seraut wajah sederhana yang tegas. Semua mengenali wajah ini. Apabila melihatnya, serta-merta semua menundukkan kepala.

"Tuan Panglima!" Seorang remaja berseragam istana menyambutnya dari beranda istana, terus berlari turun hendak mengambil kuda.

"Tuan Putera di mana?" Dengan nafas termengah Furqan bertanya pada remaja itu. Tali kekang kuda sudah berganti tangan.

"Ada di bilik khat. Tuan boleh--" Remaja itu hilang kata apabila Furqan terlebih dahulu berlari ke atas. Ternganga sekejap remaja itu. Tapi kemudian dia berlagak biasa, sudah kenal sangat Panglima Furqan.

Siapa tak kenal pembantu putera mahkota itu, lelaki paling dingin dan beku pada abad ini.

"TUANKU.." Furqan menyapa sebaik memasuki bilik ini. Nafasnya sudah kembali tenang. Di tangannya kedapatan sekotak tembaga bersaiz sederhana.

Lelaki yang sedang melakar sesuatu di atas kertas papirus terhenti serta-merta. Menoleh pada panglima kepercayaannya yang telah tiba.

"Oh Furqan, kau dah sampai. Bagaimana? Berjaya dapatkan?" Lelaki itu sambung melakar.

"Alhamdulillah patik menjumpainya." Kotak tembaga itu diletak di sisi meja lelaki tersebut.

Putera Muzaffar tersenyum. "Kau tak pernah kecewakan beta, Furqan." Baginda berhenti melakar lalu meletakkan pena di dalam bekas dakwat. Lakaran yang dia sudah siapkan ditinggal sekejap untuk proses pengeringan.

"Maafkan patik kerana mengambil masa terlalu lama." Furqan menunduk.

"Sehari itu waktu yang singkat Furqan. Beta bangga." Putera Muzaffar mengelap tangannya dengan kain lembap yang ada di situ. Diambil kotak tersebut lalu dibuka.

Furqan yang tunduk. Tidak mahu mengintai isi kotak itu wlaupun dia tahu isi kotak tersebut, ianya ialah peta keseluruhan kota ini dan surat-surat perjanjian milik diraja yang disimpan khas. Kerana itu Putera Muzaffar begitu bersungguh mahukan kotak ini kembali.

"Di mana ketemu kotak ini?" Putera Muzaffar kembali menutup kotak tersebut. Menyapu sedikit debu yang kedapatan di sekeliling kotak tersebut.

Untuk soalan itu Furqan terdiam. Merenung lama kasut sendiri. Tanpa sedar liurnya diteguk.

Putera Muzaffar mengangkat wajah. Hairan apabila pembantunya hanya diam.

"Kenapa Furqan?" soalnya.

Furqan mengangkat wajah. "Patik menjumpainya di sebuah kota." jawabnya dengan nada sedikit tergetar.

"Kota?" Berkerut dahi sang putera mendengarnya.

"Ya tuanku.. Sebuah kota di tengah padang pasir. Ianya tak berpenghuni. Patik tidak pernah melihat kota sedahsyat itu."

"Kenapa dengan kota itu?" Putera Muzaffar tertarik.

"Semua di dalam kota itu diperbuat dari emas dan perak tuanku." Furqan melaporkan.

Mata Putera Muzaffar membesar. "Emas dan perak?"

Wujudkah kota yang diperbuat dari emas dan perak di dunia ini?!

"Iya tuanku.. Patik mengambil beberapa barang dari sana sebagai bukti." Sebaik dia berkata begitu, segulung kertas dikeluarkan dari poket dadanya. Diikuti dengan seuncang kulit yang dia sangkut di pinggang, semuanya diletakkan di hadapan sang putera.

Putera Muzaffar mengambilnya dengan berhati-hati. Sedikit aneh. Apabila dia membuka kertas itu, rupanya ianya ialah sekeping surat dengan cap mohor diraja. Namun dia tak dapat memahami tulisan di dalam surat itu. Apabila dia melihat isi uncang itu. Dia dapati semuanya terdiri daripada batu kecil daripada emas, perak, zamrud, zabarjad dan semua jenis permata yang dia sendiri tidak pernah nampak. Sangat banyak dan semuanya asli. Terbeliak matanya dibuatnya.

"Ini semua patik ambil dari kota tersebut. Patik akan mengembalikannya satu hari nanti, hanya patik mengambilnya sebagai bukti." Ujar Furqan sedikit serba salah. Sebenarnya dia pun tidak yakin saat mengambil sedikit harta kota itu, namun dia tahu tiada siapa akan percaya padanya jika dia hanya bercakap kosong.

"Bahasa apa dalam surat ini?" Putera Muzaffar lebih berminat dengan surat ini. Diabaikan begitu sahaja kata-kata Furqan.

"Itu Ibrani purba." Furqan menjawab.

"Kau tahu maksudnya?" Putera Muzaffar teruja.

Furqan menggeleng. "Patik tidak mahir tapi patik ada mengenali seseorang yang mahir dalam tulisan ini."

"Bawa dia untuk baca surat ini."
Putera Muzaffar mengeluarkan perintah.

"Baik tuanku."

SEORANG lelaki tua dengan rambut beruban penuh dan janggut putih yang hampir menyentuh dada, itulah lelaki yang Furqan kenal sebagai lelaki yang mahir membaca ibrani purba. Lelaki ini asalnya ialah seorang rahib nasrani, kini sudah memeluk islam dan menjadi ulama besar di kota ini.

Sheikh Abu Musa namanya.

Begitu lama dia menatap surat yang dibawa Furqan dari kota emas itu. Sesekali dia menggeleng kepala tidak percaya. Mengurut janggutnya dengan nafas sukar.

"Kenapa tuan sheikh?" Putera Muzaffar tidak sabar ingin tahu. "Apakah isi surat tersebut?"

Sheikh Abu Musa menatap sang putera sedikit lama, kemudian menatap Furqan yang setia berdiri di sisi sang putera.

"Ini ialah surat perutusan seorang raja kepada seorang nabi." Surat itu diletak kembali dalam keadaan terbuka.

Terkedu dua sahabat itu. Putera Muzaffar dan Furqan.

"Boleh kamu ceritakan bagaimana kota yang kamu masuki itu?" Sheikh menatap Furqan.

Furqan pantas menceritakan setiap satu sifat kota tersebut. Tentang melimpahnya kemewahan di sana namun tidak berpenghuni. Indah namun sepi.

"Semuanya diperbuat daripada emas dan perak bukan?"

"Tepat sekali tuan sheikh." Furqan menganggukkan kepala.

"Maka itulah Iram." Ujar Sheikh penuh insaf.

"Iram?" Putera Muzaffar berkerut.

"Iram zatil 'imad. Ianya ialah sebuah kota yang dibina oleh seseorang yang mencabar Allah untuk membina syurga di dunia. Dia mengaku bahawa dia juga dapat membina sebuah syurga di dunia. Maka dia telah bina sebuah kota bernama Iram."

"Siapa dia?" Putera Muzaffar bertanya.

"Shaddad bin 'Ad. Darinya lahir Kaum 'Ad yang pertama. Yang disebut dalam al quran berkali-kali dengan azab tempikan, itulah mereka. Malah dalam surah Alfajr, ayat ke7 telah disebut tentang Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi." Sheikh mula bercerita.

"Ad mempunyai dua anak lelaki. Shaddad dan Shadid. Mereka berdua telah menguasai hampir seluruh kerajaan pada zaman itu. Lalu Shadid mati dan tinggallah Shaddad sahaja yang memerintah. Shaddad sangat gemar membaca kitab-kitab lama. Dari situ dia mendapat tahu tentang syurga dan kenikmatannya. Dia dapat tahu bahawa syurga itu diperbuat daripada emas dan perak. Maka dengan sebab takabbur dalam dirinya, dia tekad untuk membina syurga sendiri di dunia ini. Dia seolah-olah mencabar tuhan."

"Lalu dia memerintah seluruh tenteranya untuk mencari tempat yang sesuai untuk dibina syurganya, apabila dijumpai tempat tersebut, dengan segala usaha Iram dibina. Penuh dengan emas dan perak, permata dan berlian. Shaddad benar-benar menjadikan kota itu seperti syurga yang dia bayangkan. Apabila dalam kitab terdahulu tertulis bahawa mahligai dalam syurga mempunyai seribu bilik, di dalam setiap bilik mempunyai menteri. Maka dia turut membina istana sebegitu rupa bagi miliknya. Seribu bilik dan dalam setiap bilik ialah kediaman untuk menterinya."

"400 tahun kota itu dibina. Dan Shaddad sendiri berusia 900 tahun. Semua gigih membinanya hanya semata-mata mengikut bongkaknya seorang Shaddad. Malah dakwah rasul untuknya juga dia abaikan. Semakin berinjak waktu semakin bongkak dia dibuatnya."

"Sehinggalah seluruh kota itu sudah sedia untuk didiami, dan mereka sendiri sudah begitu berbangga dengan kota ini. Allah telah menghantar satu tempikan yang mematikan seluruh kaum tersebut termasuk Shaddad. Maka kerana itulah kota itu tinggal sebegitu rupa tidak didiami. Sehingga kini Allah telah menyembunyikannya dari pandangan manusia dan hanya menzahirkannya bagi sesetengah yang terpilih."

Selesai bercerita, Sheikh Abu Musa menatap dua pemuda di hadapannya. "Kembalikan barang yang kamu ambil darinya. Kecelakaan tempat itu kita perlu jauhi." Dia mengisyaratkan kepada semua barang yang Furqan 'curi' dari Kota Iram itu.

Furqan mengangguk patuh. "Baik tuan sheikh."

Namun apabila dia bersama Putera Muzaffar pergi ke sana, mencari di manakah tempatnya kota tersebut - Iram sudah hilang dari pandangan. Benarlah Allah menyembunyikan kota itu dari pandangan manusia. Maka Furqan hanya menanam barangan yang dia ambil itu di dalam pasir sahaja.

Dalam itu dia meminta perlindungan dengan Allah dari azab-Nya.

Tidakkah kamu melihat wahai Muhammad bagaimana Tuhan kamu lakukan kepada kaum 'Ad? Yaitu penduduk Kota Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi. Yang mana tidak dicipta sepertinya di negeri lain? (Alfajr:6-8)

.
.
.

Kisah Shaddad bin 'Ad itu benar.

Kisah Iram itu pun benar.

Surat itu tidak benar.

Kisah Furqan, Putera Muzaffar dan Sheikh Abu Musa ialah kisah yang saya olah dari sebuah kisah benar. Watak-watak tu tak wujud pun.

Kisah benar melibatkan watak-watak lain, tapi memang betul ada seorang lelaki yang masuk dalam kota itu dan dia ambil sedikit barang dalam kota itu untuk tunjukkan kepada orang atasan dia. Orang atasannya panggil seorang pendeta dan pendeta itu ceritakan tentang Iram.

Tamat.


Comments

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. 🥰🥰🥰🥰🥰😍😍😍😍😍😍😍😍😍😍!!!!

    ReplyDelete
  3. sksksksksk nanti dah masuk asrama takdela dapat baca blog, wattpad

    ReplyDelete
  4. wah saya pernah dengar cerita ni tapi ingat ingat lupa🥲thanks kak leena sebab kembalikan ingatan saya😮‍💨😂

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Kisah Sofea

  Sofea ingat lagi, waktu itu dia sedang sibuk mengusahakan spa miliknya di Sungai Buloh. Dia masih bujang dan masih seorang gadis yang hanya tahu hidup bebas. Namun, dia bukanlah gadis liar. Dia cuma hidup seperti gadis biasa yang bekerjaya. Suka membeli-belah. Suka ke salon. Selalu menjaga kecantikan wajah. Tak hairanlah dia nampak sentiasa cantik dan elegan.  Namun, tiba-tiba papa menyuruhnya berkahwin dengan seorang lelaki entah dari mana. Papa kata lelaki itu anak kawan papa. Bagi Sofea, bila dia dengar sahaja suruhan itu dia ketawa. Sebab apa yang berlaku ini sudah seperti drama pukul tujuh. Kahwin paksa? Yes.  Tapi dia tak terus bantah bila papa suruh jumpa dahulu lelaki itu. Baginya, papa tak mungkin nak kahwinkan dia dengan lelaki entah dari ceruk mana. Pastinya lelaki itu pun bukan sebarangan lelaki.  Kali pertama jumpa lelaki bernama Harun itu, perkara paling awal masuk dalam kepala Sofea ialah Harun seorang yang tampan dan segak! Buat dia bersinar-sinar mata melihat lelaki

Uwais Al-Hibri

Dua puluh tujuh tahun bukanlah waktu yang singkat. Dalam dua puluh tujuh tahun pelbagai perkara boleh berlaku. Kelahiran. Kematian. Bencana. Perubahan. Berbagai-bagai rencah pahit dan manis. Dan tiada siapa mampu mengumpulkan kisah di sebalik dua puluh tujuh tahun yang sungguh panjang ini.  Dia sudah turun dari untanya. Merenung lama pada kota yang sudah hampir tiga dekad dia tinggalkan. Nampaknya kota ini sudah semakin maju. Ternampak jelas sebuah kubah masjid yang sangat besar di tengah-tengah kota tersebut. Sebelum ini, masjid itu hanya kecil dan sederhana.  Tali unta ditarik. Memimpin bersama memasuki kota. Seluruh jiwanya diserbu rindu sebaik kakinya menapak tanah airnya ini. Beberapa penduduk ada yang menegurnya namun dia tahu, tiada siapa mengenalinya. Wajahnya sudah semakin tua. Tidak lagi gagah perkasa seperti dulu. Maka dia hanya mampu lemparkan senyuman pada penduduk yang rata-rata berwajah baru itu.  Dia masih ingat kedudukan kota ini, setiap jalannya dan setiap rumahnya. C

Kisah Harun

  Tak semua perkahwinan itu bahagia. Bila pasangan kedua-duanya sibuk dengan kerja tanpa ada sesiapa cuba bertolak ansur untuk memberi ruang waktu bersembang - akhirnya pernikahan itu hanya tinggal menetap dalam sebuah rumah dan hanya berkongsi bumbung yang sama. Bersua muka jarang sekali. Saling berbalas senyuman pun hanya setahun sekali. Hendak bersembang? Jangan diharap. Itulah hubungan antara dia dan Sofea sejak hotelnya makin membangun dan spa Sofea makin dikenali ramai. Dua-dua sibuk. Dua-dua tak ada masa untuk duduk rumah. Rumah besar dan mewah itu hanya tinggal perhiasan. Langsung tidak dihargai mereka berdua. Apatah lagi Sofea yang ada rumah sendiri berdekatan spanya. Memang tidak mungkin wanita itu akan balik pada hari biasa. Selalunya Harun akan sendirian sahaja di malam hari di rumah ini. Harun dah biasa. Makan sendirian. Tidur  sendirian. Tonton tv sendirian. Semua itu jadi rutin untuknya. Sofea hanya balik rumah ini pada hujung minggu. Itupun belum tentu. Selalunya