Skip to main content

Uwais Al-Hibri

Dua puluh tujuh tahun bukanlah waktu yang singkat. Dalam dua puluh tujuh tahun pelbagai perkara boleh berlaku. Kelahiran. Kematian. Bencana. Perubahan. Berbagai-bagai rencah pahit dan manis. Dan tiada siapa mampu mengumpulkan kisah di sebalik dua puluh tujuh tahun yang sungguh panjang ini. 

Dia sudah turun dari untanya. Merenung lama pada kota yang sudah hampir tiga dekad dia tinggalkan. Nampaknya kota ini sudah semakin maju. Ternampak jelas sebuah kubah masjid yang sangat besar di tengah-tengah kota tersebut. Sebelum ini, masjid itu hanya kecil dan sederhana. 

Tali unta ditarik. Memimpin bersama memasuki kota. Seluruh jiwanya diserbu rindu sebaik kakinya menapak tanah airnya ini. Beberapa penduduk ada yang menegurnya namun dia tahu, tiada siapa mengenalinya. Wajahnya sudah semakin tua. Tidak lagi gagah perkasa seperti dulu. Maka dia hanya mampu lemparkan senyuman pada penduduk yang rata-rata berwajah baru itu. 

Dia masih ingat kedudukan kota ini, setiap jalannya dan setiap rumahnya. Cuma nampak jelas setiap rumah sudah mengalami pembaikian untuk jadi lebih selesa didiami. Langkahnya dia teruskan ke sebuah rumah. Rumah yang sentiasa dia rindui saban hari. Rumah yang tidak pernah walau sekali dia lupakan dari fikirannya dalam dua puluh tujuh tahun ini. 

Rumah dia dan isterinya. 

Lebih kurang tiga dekad lalu, semangat mudanya telah memaksa dia untuk keluar berjihad. Maka, sebaik mendengar seruan jihad dari Madinah. Dengan pantas dia bergerak ke sana. Baru setahun lebih bernikah dengan isterinya dengan mereka tidak dikurniakan cahaya mata, dia telah membuat keputusan untuk meninggalkan isterinya buat sementara waktu. Hanya untuk keluar berjihad dalam beberapa bulan. 

Namun, daripada hanya beberapa bulan berada di sana, bertukar menjadi setahun, daripada setahun bertukar menjadi dua tahun, seterusnya sepuluh tahun dan akhirnya genap dua puluh tujuh tahun. Masa terlalu pantas. Dan dia sendiri terlalu leka dalam jihad fisabilillah sehingga terlupa dengan waktu yang semakin membuatkan rambutnya bertukar putih. 

Dia berhenti di hadapan sebuah rumah. Nampaknya rumah ini pun sudah mengalami pembaharuan. Semakin besar dan selesa. Untanya dia ikat di batang pokok. Dia sedikit gementar memikirkan segala kemungkinan dalam bertemu isterinya selepas hampir tiga dekad tidak bersemuka. 

Hatinya sangat rindukan isterinya. Namun dalam masa yang sama, dia sedikit serba salah. Bukannya dia tidak mahu pulang, namun terlalu banyak perkara yang menghalang sehingga dia tidak dapat pulang. 

Sekonyong-konyong matanya ternampak pasu yang terisi bunga putih yang menjadi kegemaran isterinya. Tersusun kemas di tepi pintu rumah. Bibirnya semerta tersenyum kecil. Seolah membayangkan isterinya yang sangat gemar menanam pokok bunga itu. 

Tidak semena, pintu rumah itu terbuka. Dia terkaku. Tidak tahu hendak berbuat apa. Dia sangat gementar. 

Namun yang membuatkan dia sangat tercengang ialah, daripada celah pintu itu muncul seorang pemuda berwajah sederhana. Sedang mengambil capal kulit untuk disarung ke kaki, baru sahaja pemuda itu hendak melabuhkan duduk di bangku sebelah pintu dia terlebih dahulu menyerang pemuda itu dengan melulu. Semangat pejuangnya sebagai seorang ketua panglima seolah membakar dirinya. 

Dia ialah Panglima Taqiyuddin yang sangat masyhur di Semenanjung Arab. Dia sesekali tidak mengizinkan mana-mana lelaki asing memasuki rumah isterinya! 

Pemuda tercengang-cengang apabila tiba-tiba sahaja seorang lelaki berusia menyerangnya. Mencekak kolar bajunya dengan kuat. 

"Kau siapa? Apa kau buat di rumah ini!?" Herdik Taqiyuddin dengan wajah merah. Hatinya menggelegak. 

Pemuda itu berkerut. Lantas dia meleraikan cengkaman tangan Taqiyuddin dari kolar bajunya. 

"Maafkan saya pakcik, ini rumah saya. Pakcik pula siapa? Apa pakcik buat di depan rumah ini?" Pemuda itu bertanya dengan nada tidak senang. 

Taqiyuddin tergelak sinis. "Ini rumah aku. Rumah ini atas nama aku. Tiada siapa boleh menetap di dalamnya melainkan aku dan isteri aku. Apa kau buat di dalam sana? Melakukan perkara terkutuk?!"

"Pakcik salah rumah ni." Pemuda itu mengeluh sedikit. "Mungkin rumah pakcik di lorong lain."

"Aku tahu ini rumah aku! Aku kenal rumah aku! Ini rumah aku dan isteri aku. Kau buat apa dengan isteri aku di dalam?!" 

Pemuda itu tergelak sedikit. Berasa lucu dengan tuduhan Taqiyuddin.

"Masalahnya sekarang pakcik, dalam rumah ini tak ada pun isteri pakcik. Saya sarankan pakcik pergi rumah lain dan cari isteri pakcik di rumah itu. Insyaallah nanti jumpa." Pemuda itu pun hendak berlalu namun terlebih dahulu Taqiyuddin merentap baju pemuda tersebut. Belum pun sempat Taqiyuddin menumbuk wajah pemuda itu, terlebih dahulu pemuda itu mencengkam lengan Taqiyuddin lalu menahan lengan lelaki berusia itu. 

Pemuda itu berkerut serius merenung Taqiyuddin. "Apa pakcik nak buat?" Dia masih memegang lengan lelaki berusia itu. 

"Kau baru sahaja berlaku biadap dengan orang tua seperti aku! Maka kau patut dapat balasan setimpal!" Taqiyuddin merentap tangannya dari cengkaman pemuda itu lalu dengan sekelip mata wajah pemuda itu ditumbuk. Terus terundur pemuda itu apabila diperlakukan begitu. Tercengang sendiri sebaik melihat darah di tepi bibirnya. 

"Beritahu aku apa kau buat di dalam rumah ini! Aku masih marah pada kau!"

"Masalahnya sekarang," Pemuda itu tampak cuba menahan marah. "Ini rumah saya! Memanglah saya duduk di rumah ini!" 

"Ini rumah aku dan selama aku duduk di sini, aku tak pernah nampak pun muka kau!"

"Ya Allah pakcik. Kenapa pakcik yakin sangat ini rumah pakcik? Dalam banyak-banyak rumah di kota ini kenapa rumah saya juga?! Pergilah cari di rumah yang lain!!"

"Aku kenal cara isteri aku menjaga rumahnya, aku kenal bunga kegemaran isteri aku. Baik kau mengaku siapa sebenarnya kau sehingga kau tiba-tiba muncul dari rumah ini!"

Pemuda itu tergelak. Meraup rambut kusut. Betul-betul tertekan. 

"Ini.." Pemuda itu menunjuk tanah rumah ini. "..rumah saya. Saya membesar di sini. Selama saya tinggal di sini, tak pernah pun pakcik datang. Tiba-tiba sekarang pakcik datang mengaku ini rumah pakcik. Saya tak faham apa yang terjadi.."

"Kau tak tahu apa-apa. Kau masih budak. Aku nak jumpa isteri aku." Taqiyuddin membuat tindakan drastik dengan menghampiri pintu rumah. Namun langkahnya tersekat apabila pemuda itu terlebih dahulu menahannya. 

"Pakcik tak boleh sesuka hati masuk rumah ajnabi." Ujar pemuda itu serius. 

"Kau patut kata ayat itu pada kau. Bukan pada aku." tangan pemuda itu ditolak kasar. 

Lagi sekali Taqiyuddin hendak mendekati pintu, langkahnya tersekat dengan sebab pemuda itu memegang lengannya. Kerana marah dia terus merentap tangan itu lalu memulas pergelangan tangan pemuda itu. Anehnya pemuda itu tidak gelabah, terus sahaja memulaskan tangannya melawan arah pulasan Taqiyuddin. Sekaligus mencengkam pergelangan tangan lelaki berusia itu sehingga membuatkan tangan Taqiyuddin pula yang terkehel. Terus Taqiyuddin menarik tangannya dari cengkaman pemuda tersebut. 

Taqiyuddin bertambah marah. Merasakan anak muda di hadapannya ini semakin biadap dengannya. Dia terus mencekak kolar baju pemuda itu dan mendekatkan wajah pemuda itu dengan wajahnya. Riaknya tika ini tersangat bengis. 

Tidak mengalah, pemuda itu juga mencekak kolar Taqiyuddin. Akhirnya dalam posisi mereka saling mencekak kolar dengan wajah masing-masing menyinga ini tidak semena terdengar suara garau mencelah. 

"Uwais? Kenapa ni?" 

Terus mereka berdua yang sedang dalam posisi bersedia untuk bergusti itu - menoleh. Kelihatan di luar pagar rumah ini, tiga lelaki berpakaian seperti para ulama besar sedang mengerutkan wajah mereka apabila melihat dua lelaki sedang bergusti dengan seorangnya sudah pun berdarah di bibir. 

"Apa sudah jadi Uwais?" Salah seorang dari tiga ulama itu bertanya dengan wajah risau. Terus mendekati pemuda yang rupanya bernama Uwais itu. 

Melihatkan itu Uwais terus meleraikan cengkamannya dari kolar baju Taqiyuddin, lalu menolak tangan lelaki tua itu dari tulang lehernya dengan wajah tidak mesra. 

Taqiyuddin hanya mendengus. Mula tidak senang apabila ada orang lain masuk campur. 

"Entah kenapa lelaki tua ini, dia marah-marahkan saya kerana saya berada di dalam rumah ini." Uwais mengesat darah di tepi bibirnya. Menjeling pada lelaki tua yang dianggap biadap ini. 

"Ini rumah aku! Kau itu kenapa tiba-tiba sahaja berada di rumah ini?! Isteri aku ada di dalam dan kau baru sahaja keluar darinya?! Kau jawablah soalan aku dengan jujur apa kau lakukan di dalam!" Taqiyuddin hendak menyerang Uwais kembali. Tidak dapat menahan sabar apabila dirinya dituduh sebegitu. 

"Sabar, pakcik. Sabar." Seorang pemuda berjubah menahan Taqiyuddin daripada menyerang Uwais. Ibrahim namanya. 

Uwais di sebelah Abu Jarir tampak cuba menenangkan diri. Abu Jarir hanya mengusap-usap bahu sahabatnya. 

"Sabar? Apa budak ini lakukan di rumah aku?! Dia juga melarang aku daripada masuk ke rumah aku sendiri!" 

"Perkara ini boleh dibawa bincang bukan?"

"Dia sudah berlaku biadap dengan aku. Aku paling pantang dengan pemuda sebegitu akhlaknya!"

"Apa saya sudah buat pakcik? Saya cuma menahan pakcik dari masuk ke rumah saya.. Itu memang hak saya. Pakcik tidak boleh masuk ke rumah ajnabiah secara suka-suka." Uwais tidak dapat menahan sabar, mencelah perbalahan itu. Membela dirinya. 

"Ini rumah isteri aku. Biar aku masuk berjumpa dengan dia." Taqiyyudin tidak menunggu lama, terus meluru hendak masuk ke rumah tersebut. 

Pantas Ibrahim dan Abu Jarir menghalang Taqiyuddin. 

"Pakcik tidak boleh buat begini.. Kita sesama muslim bukan?" Ibrahim tampak berlembut. 

"Ini..rumah isteri aku.." Taqiyuddin dilanda sebak. Menggigil tubuhnya. "Aku tahu dia ada di dalam."

Betapa dia merindui isterinya, setelah tiga puluh tahun tidak bertemu - namun akhirnya dia tersekat di sini dengan tuduhan sebagai orang asing. 

"Zainab! Zainab! Ini abang!" Taqiyuddin memanggil nama isterinya. Suaranya sudah pecah. Dia sudah penat hendak bergaduh. 

Uwais yang sedang membersih luka di tepi bibirnya terkaku demi mendengar nama tersebut. Terus memandang lelaki tua itu dengan riak tergamam. 

"Zainab!!" Taqiyuddin memanggil dengan sayu. 

"Pakcik.." Ibrahim menegur. "Tidak elok-"

"Abang?" Tika itu, pintu rumah tersebut dibuka dari dalam. Muncul seorang wanita berusia kemas bertudung dengan raut wajah yang sudah pun sedikit berkedut. 

"Zainab.." Taqiyuddin menyebut nama itu perlahan. 

"Abang." Pantas wanita itu terus memeluk Taqiyuddin dengan erat. Melepaskan rindu tiga puluh tahun tidak bertemu. 

"Subhanallah abang.. Akhirnya abang pulang." Zainab menangis bersungguh-sungguh. 

Sedangkan tiga pemuda di sini ternganga dengan pemandangan di hadapan. Ibrahim dan Abu Jarir serta-merta memandang pada Uwais. 

Jelas Uwais terkelu. 

"Abang.." Mereka meleraikan pelukan. "Ini anak kita, Uwais. Saya kandungkan dia sebaik selepas abang keluar berjihad." Zainab menunjukkan pada Uwais. Terus menarik anaknya itu dekat dengan tubuhnya. 

Uwais terkaku bila ditarik ibunya. Tidak terkata. 

Taqiyuddin sendiri tergamam sebaik menatap wajah luka anaknya. Memikirkan apa yang baru dibuatnya tadi. 

"Uwais, inilah bapa kamu. Yang ibu sentiasa ceritakan pada kamu. Yang kamu selalu ingin untuk ketemu. Inilah bapa kamu, pahlawan islam yang sangat hebat." Zainab menangis saat menuturkan itu. Memeluk Uwais yang masih terkelu. 

"Uwais.." Taqiyuddin hilang kata. Menatap wajah anaknya dengan mata menjernih. 

Tidak pernah dia sangka, dia mempunyai seorang putera yang sudah dewasa. Selama dia berada di luar kota, dia sendiri tidak mengetahui kewujudan zuriatnya ini. 

Uwais menarik nafas sukar, "Bapa.." suaranya bergetar. 

Langsung ketika itu, berpelukanlah bapa dan anak itu. Taqiyuddin tidak mampu menahan rasa gembira kerana dapat berjumpa zuriatnya sendiri. Sehingga tidak sedar mata tuanya berair lebat. 

Uwais sendiri sudah menangis memeluk tubuh tua itu. Gerangan bapa yang selama ini ibu ceritakan padanya. Gerangan yang dia sangat rindukan biarpun tidak pernah bersemuka. Gerangan yang menjadi idolanya. 

"Bapa.. Uwais rindukan bapa."

Taqiyuddin menangis mendengarkan kata-kata itu. 

"Bapa juga. Bapa juga. Maafkan bapa."


.
.
.
.




"Anak kita sudah dewasa." Taqiyuddin tersenyum mengenangkan itu. Berbual dengan isterinya ketika mereka sama-sama berada di dalam bilik tidur mereka. 

"Ya, dia membesar dengan baik, abang." Zainab senang membalas itu. 

"Kamu mendidiknya dengan baik sekali, Zainab." Taqiyuddin bahagia. Dia dapat lihat betapa Uwais membesar menjadi pemuda yang sangat baik. 

Zainab hanya tersenyum mendengarkan itu. Tidak membalas apa-apa. 

Ketika itu, azan zohor berkumandang. Taqiyuddin pantas bersiap untuk ke masjid bagi menunaikan solat berjemaah. Dia keluar dari bilik mencari kelibat Uwais. Sebentar tadi dia dan Uwais tidak putus-putus berbual. Uwais sangat gembira dengan kepulangannya. Banyak cerita dikongsikan dengannya. Taqiyuddin dapat tahu yang anaknya ini rupanya pelajar agama. Mendalami al-quran dan hadis. Dia bangga mendengarkan itu. 

"Oh, abang. Zainab lupa hendak memberitahu, Uwais selalunya sudah ke masjid ketika ini." Zainab muncul di muka pintu bilik mengkhabarkan itu. 

"Iya? Baik, abang pergi sendiri." Taqiyuddin pun bergerak ke masjid sendiri. Tidak sabar hendak bertemu rakan-rakan yang sudah lama tidak ditemuinya. 

.
.
.


Selesai solat sunat, orang ramai mula bangkit menyertai majlis-majlis ilmu. Sememangnya kebiasaan di negara arab, selepas solat, jemaah akan bergerak ke mana-mana sheikh yang mereka suka untuk mendengar hadis dan nasihat. 

Dalam banyak-banyak majlis di masjid ini, sebuah majlis ilmu menarik perhatian Taqiyuddin. Majlis itu sangat besar. Seolah seorang sheikh yang sangat ilmuan sedang memberi ceramah di tiang berdekatan. Sehingga begitu ramai yang mengerumuninya. Malah sangat mengejutkan, Taqiyuddin mendapati begitu ramai ulama-ulama besar yang terkenal di Madinah turut berada di majlis tersebut. 

Dia pantas mendekati majlis itu dengan rasa begitu berminat. Menjengukkan kepala hendak melihat sheikh yang sedang membacakan hadis di hadapan sana. 

Sejenak, dahinya berkerut. Merasakan dia tersalah nampak. Wajah di hadapan sangat familiar. Membangkitkan rasa gamam pada dirinya. Mungkin mata tuanya sudah begitu rabun sehingga tersalah orang. 

Itu Uwais. Kelihatan sedang membacakan hadis pada ribuan orang di hadapannya. Bacaannya fasih. Suaranya lantang dalam hemah. Penyampaiannya jelas dan tersusun. Wajah muda itu sangat tenang. 

Taqiyuddin tidak mempercayai dengan apa yang dia lihat ketika ini. Namun apabila matanya bertembung dengan mata anaknya itu, Uwais kelihatan tersentak namun segera mengawal riak wajahnya. Uwais terus membacakan hadis, cuma kali ini jelas Uwais cuba menyembunyikan dirinya dari pandangan bapanya. Menundukkan wajah tidak mahu dilihat sang bapa. Dia segan. 

Taqiyuddin yakin itu Uwais, anaknya. Namun dia tidak pasti adakah benar apa yang dilihatnya, Uwais sedang mengajar para ulama hebat? 

Dia pantas melabuhkan duduk di sebelah seorang pemuda. Nafasnya cuba ditenangkan. 

Pantas dia bertanya perlahan, "Siapa di hadapan sana?" 

Pemuda itu terkejut disoal begitu, "Pakcik tak kenal? Itu ialah Uwais Hibri. Seorang ulama besar yang sangat arif tentang ilmu hadis dan al-quran. Seawal umurnya 20 tahun beliau sudah mengarang kitab hadisnya sendiri. Malah beliau sangat hebat dalam menyampaikan hadis tanpa sedikit kesilapan pun. Kerana itu beliau digelar Hibri, bermaksud dakwat. Dirinya sendiri seolah dakwat kitab hadisnya, kerana beliau dapat mengingati semua muka surat dalam kitabnya!" Bersungguh pemuda itu bercerita. 

Taqiyuddin tergamam. Cuba menghadam setiap satu cerita itu. 

"Sekarang, beliau sangat terkenal di kota ini. Para ulama dari Madinah dan Kuffah sendiri datang untuk mendengar hadis dari beliau. Beliau sangat hebat walaupun dalam usia begitu muda. Saya sangat kagum dengannya." Pemuda itu menggeleng kepala. Menatap wajah lelaki ilmuan yang sangat dikaguminya itu. 

Taqiyuddin turut menatap hadapan. Pada Uwais yang sedang membacakan riwayat hadis seraya menjelaskan setiap perawi yang disebutnya. 

Akhirnya Taqiyuddin tersenyum lebar. 

Merasakan, inilah hadiah untuknya atas segala pengorbanan yang dia telah lakukan di jalan Allah selama 27 tahun ini. 

Hadiah yang sangat bernilai. 


.
.
.






Kisah ini sebenarnya diolah daripada kisah seorang ulama besar Rabi'ah Ar-ra'yi dan bapanya Farukh. 

Rabi'ah Ar-ra'yi bukan calang-calang ulama. Beliau ialah guru Imam Malik bin Anas. Imam Malik ialah peneraju Mazhab Maliki. 

Saya suka cerita ini, sebab itu saya olah
Terima kasih sudi membaca. 

ربيعة الرأي وأبوه فروخ#











Comments

  1. #sis is reading while crying ��.. thank u sis for the story

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. minta izin share tau kak leena. saya suka sangat cara penulisan akak, jadi saya nak share heheh :)

    ReplyDelete
  4. Kak leenaaa😭✨best nya story ni😮‍💨❤️Olahan yang mudah difahami and tak bosan bila baca😩♥️♥️

    ReplyDelete
  5. Best cerita ni Leena...akak suka...❤️❤️❤️♥️bila akak baca cerita Leena akak jadi nak tau tokoh sebenar Yang Leena olah Tu...

    ReplyDelete
  6. Story kakleena takpernah mengecewakn , waiting for mashaf complete , full of moral :) thaankyouu

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Kisah Sofea

  Sofea ingat lagi, waktu itu dia sedang sibuk mengusahakan spa miliknya di Sungai Buloh. Dia masih bujang dan masih seorang gadis yang hanya tahu hidup bebas. Namun, dia bukanlah gadis liar. Dia cuma hidup seperti gadis biasa yang bekerjaya. Suka membeli-belah. Suka ke salon. Selalu menjaga kecantikan wajah. Tak hairanlah dia nampak sentiasa cantik dan elegan.  Namun, tiba-tiba papa menyuruhnya berkahwin dengan seorang lelaki entah dari mana. Papa kata lelaki itu anak kawan papa. Bagi Sofea, bila dia dengar sahaja suruhan itu dia ketawa. Sebab apa yang berlaku ini sudah seperti drama pukul tujuh. Kahwin paksa? Yes.  Tapi dia tak terus bantah bila papa suruh jumpa dahulu lelaki itu. Baginya, papa tak mungkin nak kahwinkan dia dengan lelaki entah dari ceruk mana. Pastinya lelaki itu pun bukan sebarangan lelaki.  Kali pertama jumpa lelaki bernama Harun itu, perkara paling awal masuk dalam kepala Sofea ialah Harun seorang yang tampan dan segak! Buat dia bersinar-sinar mata melihat lelaki

Kisah Harun

  Tak semua perkahwinan itu bahagia. Bila pasangan kedua-duanya sibuk dengan kerja tanpa ada sesiapa cuba bertolak ansur untuk memberi ruang waktu bersembang - akhirnya pernikahan itu hanya tinggal menetap dalam sebuah rumah dan hanya berkongsi bumbung yang sama. Bersua muka jarang sekali. Saling berbalas senyuman pun hanya setahun sekali. Hendak bersembang? Jangan diharap. Itulah hubungan antara dia dan Sofea sejak hotelnya makin membangun dan spa Sofea makin dikenali ramai. Dua-dua sibuk. Dua-dua tak ada masa untuk duduk rumah. Rumah besar dan mewah itu hanya tinggal perhiasan. Langsung tidak dihargai mereka berdua. Apatah lagi Sofea yang ada rumah sendiri berdekatan spanya. Memang tidak mungkin wanita itu akan balik pada hari biasa. Selalunya Harun akan sendirian sahaja di malam hari di rumah ini. Harun dah biasa. Makan sendirian. Tidur  sendirian. Tonton tv sendirian. Semua itu jadi rutin untuknya. Sofea hanya balik rumah ini pada hujung minggu. Itupun belum tentu. Selalunya