Skip to main content

Sejadah Aisyah Humairah

Solat isyak baru sahaja selesai didirikan. Jemaah beransur pulang selepas menunaikan solat witir secara infradi. Dalam beberapa minit masjid mulai kosong dari sesiapa. Lampu di beberapa kawasan dipadamkan oleh ahli jawatankuasa. Hanya tinggal lagi sedikit ruang masih bercahaya.

Dan di dalam suram cahaya itu bersimpuhnya sesusuk tubuh berbaju melayu ringkas, bersama kain sarung berwarna sepadan - sedang bertafakur. Tiada apa pun yang dia lakukan, hanya merenung tempat sujudnya sendiri.

Akhirnya dia menghela nafas. Masjid sudah pun sunyi. Tadi Tok siak sudah pun mengingatkannya untuk menutup semua lampu dan juga mengunci pintu. Sememangnya masjid besar sebegini akan ditutup malam-malam. Dia sudah biasa menjadi orang terakhir, kerana dia suka berada di sini lama-lama.

Dia langsung bangkit berdiri. Membetulkan sedikit kopiah putihnya sebelum melangkah ke ruangan yang masih bercahaya, hendak ditutup lampunya. Apabila mendapati ruangan yang masih bercahaya itu ialah ruangan muslimat, maka dia pun bergerak ke langsir dan menyelaknya dengan yakin. Menganggap sudah tiada siapa di ruangan tersebut.

Namun, sebaik dia menyelak tirai itu terus dia ternampak sesusuk tubuh bertudung labuh hitam dan berjubah peach sedang mendirikan solat berdekatan pintu. Pergerakannya tersekat. Tidak jadi hendak membuat kerjanya.

Demi menghormati muslimat yang sedang solat itu, dia pun menangguh dahulu niatnya hendak menutup lampu dan pergi menunggu di anjung masjid. Nanti bila muslimat itu selesai barulah dia masuk untuk melaksanakan amanat Tok siak padanya.

Dia melabuhkan duduk di birai tangga. Sambil itu matanya memerhati perkarangan masjid yang sudah kosong. Hanya ada satu kenderaan di situ, myvi. Mungkin kenderaan muslimat di dalam. Dia pula hanya tidak berkenderaan tika datang ke masjid.

Selepas beberapa jenak menunggu sambil membelek telefon bagi menghilangkan bosan, bunyi seperti seseorang menyarung selipar dengan cemas menggagau pendengarannya. Namun dia tidak memandang ke punca bunyi itu. Mengetahui pastinya bunyi itu dari muslimat tadi.

Dia terus sahaja menatap telefon. Sengaja membelek instagram sementara menunggu muslimat itu benar-benar pergi.

Selepas mendengar bunyi enjin kenderaan, dan bunyi itu telah pun hilang dia pun menyimpan telefon. Langsung bergerak masuk untuk menyelesaikan kerjanya. Apabila dia masuk ke ruangan muslimat, sudah tiada siapa di situ. Dia pun pergi mengunci pintu. Ketika mengunci pintu matanya ternampak sesuatu sedang tersadai di karpet merah masjid. Ianya sejadah yang tidak terlipat.

Sejadah itu diambil. Hendak disimpan di tempatnya. Namun pandangannya terarah pada sebaris nama yang terjahit kemas di belakang sejadah itu. Nama dalam bahasa arab. Jahitan itu sangat cantik.

A'isyah Humairah.

Jahitan itu diusap. Bukan jahitan sebarangan. Kerana ianya dijahit dengan benang yang berkualiti. Ditulis pula dengan tulisan khat. Pastinya ini sejadah milik seseorang.

Adakah milik muslimat tadi?

Memikirkan itu buat dia terdiam sejenak. Nafas dihela panjang-panjang. Selepas berfikir masak-masak akhirnya dia pun melipat sejadah itu dan meletakkannya bersama sejadah lain. Cuma agak tersorok.

Biarlah pemiliknya mengambilnya sendiri.

Dia malas hendak ambil tahu.

.
.
.

"Mak, tengok ni.."

Hari lain, ketika dia berada di luar masjid untuk menjawab panggilan rakannya - tidak semena dia terdengar perbualan dua beranak.

Ianya seorang gadis bertudung bersama ibunya.

"Apa?"

"Cantik kan sejadah ni.. Nama Humairah ada dekat sini." Si anak gadis itu dengan teruja menunjukkan sesuatu di tangannya.

Mendengarkan kata-kata si anak gadis, Hilman jadi tersapa sedikit. Apabila dia mengerling apa yang dipegang si anak dara, dia dapat lihat ianya ialah sejadah berwarna peach dengan nama A'isyah Humairah tempoh hari.

"Mak, Humairah nak lah sejadah ni. Ada nama Humairah dekat sini!" Si anak dara hampir terlompat-lompat untuk mendapatkan sejadah itu.

"Mana boleh.. Itu masjid punyalah. Apa kamu ni? Nak mencuri ke?" Si ibu terjegil mata.

"Bukanlah mak, tapi sejadah ni sesuai tau dengan Humairah.. Ada nama Humairah."

"Bila ada nama kamu, tak semestinya kamu boleh ambik. Haih. Dah pergi simpan balik. Buat kerja pelik-pelik je kamu ni."

"Alaa.."

"Simpan balik! Cubit kan!"

"Okay okay!"

Selajur itu si anak dara dengan muka tak puas hati masuk semula ke dalam masjid, pergi menyimpan kembali sejadah itu.

Beberapa lama kemudian, seorang lelaki berusia keluar dari ruangan muslimin. Sang ibu tadi segera mendapatkan lelaki tersebut. Suami mungkin. Hilman sempat berbalas senyuman dengan lelaki itu.

Apabila si anak dara itu keluar, mereka pun pulang. Tinggal Hilman hanya memerhati mereka tanpa sebarang kata.

Seperti biasa, selepas semua sudah pulang. Hilman tetap berada di sini. Tiada siapa tahu apakah yang dia selalu fikirkan di tepi tiang ini. Dia gemar termenung sendirian. Namun dia bukanlah tidak bergaul dengan penduduk kampung. Cuma dia suka bila bersunyi di rumah ibadat ini.

Tok siak tidak perlu berpesan sudah pada Hilman, hanya berbalas senyuman dan dijawab dengan anggukan oleh Hilman - Tok siak pun balik. Tinggallah Hilman berseorangan. Dia pun bangun selepas itu, bergerak ke ruangan muslimat.

Rak sejadah dihampiri. Sejadah paling atas ialah sejadah Aisyah Humairah itu. Nampaknya anak gadis tadi hanya mencampakkan sejadah ini kerana protes. Dia mengambil sejadah itu dan dilipatnya elok-elok.

Selepas apa yang dia dengar dari gadis dan ibunya tadi, dia sedar dia tidak patut meletakkan sejadah mahal ini di tempat wakaf masjid. Sejadah ini milik seseorang. Hanya tidak diketahui siapakah pemiliknya. Maka dia sebagai penemu sejadah ini sepatutnya bertanggungjawab untuk mencari pemiliknya.

Hilman segera menyimpan sejadah ini di kenderaannya. Hari ini dia bawa kenderaan. Kerana hujan waktu sebelum maghrib tadi. Tidak boleh jalan kaki. Bonet kereta dibuka kemudiannya, fail hitam yang tersimpan di situ dibuka. Pen yang terselit di poket kotnya yang terlipat kemas di situ - juga diambil.

Sehelai kertas dihampar. Langsung dia menulis.

Sesiapa yang kehilangan sejadah Aisyah Humairah, sila hubungi nombor berikut 013-586****.

Selesai semuanya, dia pun pergi menampal kertas itu di sebelah pintu muslimat. Mengharapkan agar pemilik sejadah Aisyah Humairah akan menghubunginya satu hari nanti.

.
.
.

Hari ini dia sangat sibuk. Kes yang dia perlu selesaikan terasa sangat berpanjangan. Mahkamah pula seolahnya sengaja menyukarkan lagi situasinya sebagai pendakwa raya. Dia tidak senang duduk di pejabat.

Pagi ini sahaja dia menerima panggilan dari Inspektor Syukri berkenaan kes yang dia kendalikan ini. Dan daripada apa yang Ins. Syukri katakan, kes ini menjadi semakin sukar apabila Tuan Malik tidak mahu memberi kerjasama.

Tuan Malik ialah satu-satunya saksi yang dapat mendakwa Kevin dalam kes rasuah tersebut. Apabila saksi sendiri tidak mahu bekerjasama, kes akan jadi semakin berpanjangan.

Akhirnya dia terduduk langsung menghempas nafas kasar. Terlalu serabut.

"Tuan Hilman," Setiausahanya muncul dari balik pintu.

"Apa?" dalam mata terpejam dia bertanya.

"Encik Kamish nak jumpa."

Mata Hilman terbuka. Nama peguam Kevin itu menambah sesaknya. Terus dia memandang tajam pada setiausahanya.

"Apa pulak dia nak?"

Setiausahanya mengangkat bahu. "Saya pun tak tahu, tuan. Tiba-tiba je dia muncul dekat bangunan kita. Boleh pulak tu dia buat muka selamba."

"Ugh." Hilman menjatuhkan belakang kepala. Stress.

"Tuan nak saya halau dia ke?"

"Kau tanya dia, apa masalah dia tiba-tiba muncul dekat sini? Kalau dia nak suruh aku tarik balik dakwaan tu, mati hidup balik pun aku takkan tarik balik lah."

"Baik tuan."

Tangannya naik mengurut dahi sendiri. Pening kepalanya.

"Tuan," muncul pula setiausahanya.

"Apa pulak?"

"Encik Kamish kata, dia nak bincang sesuatu dengan tuan."

Mendengarkan itu, Hilman serta-merta ketawa kecil. Terasa lucu mendengar ayat itu.

"Bincang apanya? Nak bagitahu yang dia dah rasuah hakim dalam kes ni? Sebab tu Puan Marlia langsung tak bagi chance dekat kita kan?" Sinis ayat Hilman.

"Uhuk uhuk." setiausahanya terbatuk-batuk kambing.

"Okay.. Aku pergi jumpa dia. Nak dengar jugak apa benda yang dia nak bincang sangat tu." Hilman pun tegakkan badan, menarik nafas dalam-dalam. Telefon dan wallet dia masukkan ke dalam kot hitam. Langsung dia berdiri.

Tidak semena telefonnya bergetar. Dia pantas mengeluarkan kembali telefonnya itu. Unknown number.

"Kau keluarlah dulu. Nanti aku pergi."

"Okay tuan." sejurus itu setiausaha itu pun berlalu pergi.

Hilman pula terus mengangkat panggilan.

"Ya, Hilman bercakap." Formal dia menyahut panggilan tersebut.

"Err assalamu'alaikum..".

Suara perempuan. Halus.

Dahi Hilman berkerut. Sekejap dia pandang skrin telefonnya. Manalah tahu salah nombor. Telefon kembali ditekap ke telinga.

"Waalaikumussalam.. Siapa ni?"

"Err.. Saya pemilik sejadah A'isyah Humairah.. Encik ada letak nombor telefon encik dekat masjid tu kan?" teragak-agak perempuan di sana bercakap.

"Ohhh.." Hilman baru mengerti. "Ya, nombor sayalah tu. Sejadah cik ada dengan saya."

"Ohh.. Terima kasih jaga sejadah saya. Err saya nak balik sejadah tu.. Dekat mana saya boleh ambil ya?"

"Cik datang sahaja masjid malam ini. Nanti saya minta ibu saya serahkan pada cik."

"Oh.. Okay! Terima kasih."

"Sama-sama. Apa-apa hal nanti saya hubungi cik balik."

"Okay! Assalamualaikum. Terima kasih sekali lagi encik."

"Sama-sama. Wa'alaikumussalam."

.
.
.

Pulang dari pejabat, dek terlalu penat Hilman terus terbongkang tidur tak sedarkan diri sehinggalah maghrib. Apabila azan maghrib kedengaran barulah dia tersedar dari lenanya.

Berkali-kali dia beristighfar. Macamanalah dia boleh tertidur waktu petang begini? Sangat tidak menyihatkan!

Apabila melihat waktu maghrib sudah pun masuk, dia kelam-kabut bangun bersiap. Lagipun, dia perlu meminta tolong ibu untuk menyerahkan sejadah Aisyah Humairah pada pemiliknya.

Namun sebaik dia keluar dari bilik, dia tidak mendapati walau sesiapa di luar. Samada adiknya atau ibunya atau ayahnya. Rumah banglo sederhana ini kosong. Aneh, ke mana semua orang pergi?

Dia pun cepat-cepat pergi berus gigi dan ambil wuduk. Tak sempat nak mandi. Dah lewat. Kemudiannya dia membuat panggilan pada ibunya. Sambil itu dia sedang terkocoh-kocoh menyarung selipar jepun dan berkejar ke keretanya.

"Haa Man.. Lupa umi nak bagitahu. Umi dengan abah balik rumah nenek ni. Nenek tak sihat. Adik ikut sekali."

"Ha? Dah kenapa tak ajak Man sekali?" Dia dengan kelam-kabut start enjin.

"Man tidur macam mati kut. Umi tak rajinlah nak kejut Man. Umi tahu Man penat. Tak apa, nenek okay je. Kalau Man nak balik pun apa salahnya."

"Tak apalah.. Esok pun Man kerja. Rumah nenek bukannya dekat dengan office Man. Okaylah, umi. Man letak dulu. Man nak pergi solat maghrib pulak ni. Bye!"

"Eh budak ni, bye pulak!"

.
.
.

"Hilman?"

Wajahnya terdongak memandang gerangan yang menegur.

"Eh, tok.." Hilman mengukir senyum apabila melihat yang menegur itu ialah Tok siak.

"Nak jadi orang terakhir jugak hari ni?" Soal Tok siak.

Hilman tersengih lalu menggeleng. "Hari ini tak kut."

"Baguslah.. Asyik kamu je dapat pahala lebih. Tak adillah."

Hilman tertawa dengan kata-kata itu.

Tok siak melabuhkan duduk di sebelah Hilman. Tika ini orang ramai dah beransur pulang.

"Sebenarnya, apa kamu dapat bila duduk last-last?" Tok siak bertanya dengan rasa ingin tahu.

Hilman tersenyum. "Saya rasa tenang, tok. Saya suka bila tengok semua dah balik dan tinggal saya seorang sahaja di masjid ini. Saya rasa seronok."

Tok siak tersenyum mendengar jawapan Hilman.

"Siang hari, saya selalu stress dengan kerja saya.. Saya rasa serabut. Jadi cara saya nak tenangkan diri, saya solat berjemaah. Saya duduk di masjid lama-lama."

"Baguslah.. Cara kamu menenangkan diri kamu, sangat sangat baik. Tok bangga dengan anak muda seperti kamu." bahu Hilman ditepuk.

Hilman hanya tertunduk. Merasa rendah diri.

"Bukannya selalu jumpa anak muda yang bekerja macam kamu ni yang istiqamah solat di masjid.. Selalu orang tua je yang tok nampak. Orang muda rasa malu nak join sembahyang. Diorang tak tahu ke, betapa besarnya pertolongan Allah bila diorang jaga solat jemaah?"

Hilman tekun mendengar kata-kata Tok siak.

"Hilman istiqamah lah dengan solat jemaah ya. Jangan sesekali tinggal."

"Ya insyaallah tok.."

Tidak semena, ketika Hilman masih ingin mendengar nasihat Tok siak tidak semena telefonnya bergetar. Dia pantas mengeluarkan telefonnya. Mesej dari setiausahanya.

Tuan Malik dah setuju nak jadi saksi kita, boss.

Demi membaca mesej itu, terus dia tersenyum dengan rasa bersyukur tak terhingga.

Benarlah, dengan solat berjemaah betapa banyak urusan dunia dipermudahkan.

Dan dia sendiri mengalami situasi itu. Begitu manisnya keadaan ini. Begitu tenangnya apabila hadiah serupa ini dibuka.

"Alhamdulillah.." Ucapnya sedikit terharu.

"Alhamdulillah." walaupun Tok siak tidak tahu apakah berita gembira yang buat wajah Hilman ceria sebegitu rupa - dia tetap mengucapkan hamdalah sekadar meraikan Hilman.

Hilman tersenyum pada Tok siak. Berkongsi rasa gembira.

Telefonnya bergetar untuk kali kedua. Bila dia memandang mesej itu, ianya dari nombor yang tak dikenali.

Maaf, encik. Saya tak jumpa pun ibu encik. Sekarang dah lewat, saya kena balik. Sejadah saya macamana?

Hilman terbeliak mata demi membaca mesej itu. Hampir dia melatah Subhanallah dalam dirinya mendadak bangun.

"Kenapa Hilman?"

"Maaf tok, saya kena pergi sekarang.. Ada hal sikit."

"Ohh.. Hati-hati." Sempat Tok siak berpesan bila melihat langkah kalut Hilman.

Hilman berkejar keluar. Mesej dari pemilik sejadah Aisyah Humairah dibaca sekali lagi. Kemudian dia balas.

Awak ada dekat sini lagi ke?

Sambil menunggu perempuan itu balas, dia mengintai jika wujud mana-mana perempuan di perkarangan masjid ini.

Ya, ada di sini lagi. Dekat bawah pondok.

Perempuan itu balas.

Hilman segera mencari pondok yang dikatakan perempuan itu.

Benar, ada seorang wanita berpurdah sedang duduk di situ - menatap telefonnya. Sekejap wanita berpurdah itu menoleh.

Terus mereka berpandangan.

Sepantas kilat, wanita berpurdah itu memandang hadapan kembali. Dia menaip sesuatu di telefonnya.

Encik yang dekat tangga tu ke?

Mesej sampai di telefon Hilman.

Hilman segera jawab,

Ya.

Wanita itu membalas,

Kenapa encik berseorangan? Mana ibu encik? Encik kata ibu encik yang akan bagi sejadah tu dekat saya.

Hilman mengetap bibir serba salah demi membaca mesej itu.

Maaf, ibu saya ada hal lain. Saya terlupa nak inform.

Hilman pandang pada belakang tubuh wanita itu, hendak melihat reaksi wanita tersebut bila membaca mesejnya.

Hilman dapat lihat wanita itu mengeluh sedikit. Dia kemudian mengemas barangnya. Langsung berdiri. Sempat dia taip mesej pada Hilman.

Tak apalah, encik. Lain kali sahaja saya ambil sejadah tu. Saya ingat ibu encik akan bagi saya.
Nanti kalau urusan ibu encik dah selesai nanti bolehlah saya ambil sejadah tu dari ibu encik.

Kali ini panjang lebar wanita berpurdah itu balas. Mengundang gamam pada Hilman. Apabila dia memandang pada wanita itu, kelihatannya wanita itu sudah pun melangkah kenderaannya.

Hilman statik di tempat berdirinya. Hanya menghantar kereta myvi wanita itu pergi. Dia tidak terkata dengan apa yang berlaku.

.
.
.

Hasilnya, malam itu Hilman tak dapat tidur. Resah fikirannya teringatkan wanita berpurdah tadi. Dia serba salah sangat-sangat. Mesti wanita berpurdah itu sudah lama menunggu di situ. Sedangkan dia terlupa terus akan pertemuan itu.

Tangannya naik menindih dahi. Matanya merenung siling. Lama dia termenung sebegitu. Malam ini hanya dia seorang di rumah. Keluarganya tidur di rumah nenek. Jadi rumah ini sangat sunyi sepi. Membuatkan dia semakin teringatkan wanita berpurdah tadi.

Selepas beberapa jenak, dia pun mengambil telefonnya. Sengaja membelek mesej wanita berpurdah tadi.

Bila dia baca mesej itu, entah kenapa hatinya rasa sesuatu. Melihat betapa wanita berpurdah itu menjaga ikhtilat buat dia tersentuh.

Hanya kerana tiada ibu yang menjadi orang tengah, wanita itu sanggup membuat temu janji untuk kali keduanya. Dengan mengharapkan sejadah itu akan dikembalikan melalui sang ibu.

Entah kenapa, Hilman jadi tersenyum sendiri.

Kemudian dia sedarkan dirinya. Langsung mencampakkan telefon ke tepi. Wajah disembam ke bantal. Ah sudah! Kenapa dia tersenyum?!

.
.
.

"Tahniah, tuan! Akhirnya kes ini selesai!" Setiausahanya, Syahida mendepa tangan dengan penuh riang sebaik keluar dari mahkamah.

Kes ini akhirnya ditutup dengan hukuman dijatuhkan pada Kevin atas tuduhan memberi rasuah. Dipenjarakan 20 tahun dan didenda sebanyak 50 ribu ringgit, lima kali ganda dari nilai suapan yang dia telah berikan pada penerima rasuah.

Lega hati Hilman apabila kes ini selesai.

"Jom tuan, saya belanja tuan makan!"

"Tak naklah.. Aku nak balik. Berehat dekat rumah." Hilman membalas acuh tak acuh seraya berjalan ke kenderaannya.

"Alaa.. Bukan selalu saya nak belanja tuan ni." Syahida sudah memuncung.

"Kau belanja je diri sendiri. Lagi bagus." Hilman buka pintu belakang, beg dicampak ke seat itu. Sekilas dia ternampak sejadah Aisyah Humairah terdampar di seat itu. Terdiam sejenak dia dibuatnya.

"Mana syok! Tuan, jomlah! Kita lunch sama-sama!" Syahida tak habis lagi mendesak.

Hilman menaikkan mata ke atas. Langsung dia menghempas pintu keretanya tanda marah. Konon sahaja marah. Matanya memandang tajam pada Syahida sehingga setiausahanya itu terus terdiam.

"Kau jadi solehah sikit boleh tak? Jaga adab tu bila dengan lelaki. Ini tak, sibuk pulak nak ajak lelaki keluar. Ingat bagus?" Boleh pula Hilman membebel.

"Eh, kenapa pula tiba-tiba cakap pasal solehah ni tuan? Selama ni tak pernah pun.." Syahida seram sejuk.

"Suka hati kaulah." Hilman malas layan. Ketika itu telefonnya berbunyi tanda mesej masuk. Dia seluk poket dan mengeluarkan telefon.

Mesej dari wanita berpurdah itu!

Kelam-kabut Hilman buka mesej itu.

Assalamu'alaikum encik, ini nombor telefon ayah saya. Malam nanti encik jumpa jelah dengan ayah saya untuk bagi sejadah tu. Dan kalau ada apa-apa hal contact je ayah saya. Terima kasih. 0115628****(Abah)

Hampir terjatuh telefon dari tangan Hilman sebaik membaca mesej itu. Nasib baik dia sempat sambut. Itupun Syahida terlebih dahulu jeritkan untuknya. Seram bila tengok telefon mahal hendak jatuh ke jalan tar.

"Tuan dah kenapa? Tuan okay?" Syahida gelabah bila tengok Hilman tersandar ke kereta. Nampak macam sesak nafas.

Hilman angkat tangan. Menyekat Syahida dari mendekatinya. Dadanya memang tengah sesak sekarang. Tak tahu sesak sebab apa.

Syahida ketap bibir. Cemas dengan keadaan bosnya.

Selepas reda sedikit, tidak berlengah Hilman masuk dalam kereta. Syahida ditinggalkan terpinga-pinga. Sedar-sedar kereta Hilman dah pergi.

.
.
.

Hilman tarik nafas dan hembus. Malam ini, dah masuk kali ke seratus dia tarik nafas dalam-dalam dan hembus. Tak nak bagi nampak sangat dia tengah gementar.

Kenapa dia gementar?

Tak lain tak bukan sebab dia akan berjumpa dengan bapa wanita berpurdah itu.

Dia buat-buat cool. Hantar mesej dekat si bapa itu pun dia buat-buat cool. Padahal hanya Allah tahu betapa hendak meletupnya hati dia ini bila si bapa itu membalas mesejnya.

Haji Omar nama bapa perempuan berpurdah itu.

"Assalamu'alaikum.." Satu suara garau kedengaran menyapanya.

Laju dia menoleh. Seakan dapat mengagak gerangan yang menegurnya itu kerana dia memang sudah berjanji untuk bertemu Pakcik Omar dekat pintu masuk masjid ini.

Seorang pakcik berwajah damai menjamu pandangannya. Dia terpegun sedikit sebab wajah pakcik ini benar-benar bercahaya. Buat mata yang melihat serta-merta jadi tenang.

"Hilman?" soal pakcik itu.

Hilman tersedar. "Wa-waalaikumussalam pakcik.. Haah saya Hilman." Dia pantas bersalaman dengan pakcik itu. Tangan yang berpeluh dia kesat dekat baju.

Dah kenapa dia gementar sangat ni?

Pakcik itu tersenyum. Bahu Hilman dia tepuk.

"Tak kenal pakcik?"

"Huh?" Hilman terkebil-kebil.

"Pakcik ni.. Kita pernah jumpa sebelum ini. Kamu pernah tolong pakcik."

Hilman terkulat-kulat sendiri hendak mengingati wajah orang-orang yang dia pernah tolong.

"Tak ingat? Waktu dekat pasaraya.. Pakcik lupa bawak wallet, kemudian kamu tolong bayarkan untuk pakcik."

Hilman terus teringat sebaik mendengar cerita pakcik itu. "Subhanallah! Pakcik lah tu?"

"Iyalah.." Pakcik Omar menjawab. "Pakcik tak sedap hati jugak bila kamu bayarkan dekat pakcik. Tapi sebabkan kamu memang kalut waktu tu, tak sempat pakcik nak minta nombor telefon. Sekarang, dah jumpa Alhamdulillah."

Hilman hanya tersengih mendengarkannya. Entah kenapa, hatinya mula lapang. Sudah tak gementar seperti tadi.

"Kamu ada nak pergi mana-mana selepas ni?" Pakcik Omar bertanya.

"Tak ada.. Nak balik rumah terus ni."

"Baguslah.. Jom pakcik belanja makan. Ganti duit kamu hari tu. Lepas tu, kamu bagilah sejadah A'isyah."

"Sejadah A'isyah?" Telinga Hilman kekok sedikit mendengar nama itu.

"Ya, sejadah anak pakcik yang kamu tolong simpan tu. Itu sejadah yang arwah ibu dia hadiahkan. Itu sebab dia sayang sangat."

Hilman terdiam mendengar cerita itu. Barulah dia faham kenapa wanita berpurdah itu sayangkan sangat sejadah dia.

"Nama anak pakcik A'isyah Humairah?" tanpa segan silu, Hilman bertanya. Entah kenapa, hati ini mendesak sahaja nak tahu.

"Mestilah.. Dah nama dekat sejadah dia pun macam tu. Kenapa tanya? Nak berlatih akad nikah ke?"

Mendengarkan soalan menyakat dari Pakcik Omar, terus merah padam muka Hilman.

Pakcik Omar lantas ketawa. Lucu bila melihat wajah anak muda di hadapannya ini menjadi merah.

.
.
.








"A'isyah,"


"Ya abah.."


"Hilman tu baik orangnya ya.."


"Kenapa pulak abah ni?" gelak sedikit.


"Kenapa pulak apanya? Abah cakap benda betul. Hilman tu bukan macam lelaki lain. Orang-orang masjid cakap dia selalu sembahyang berjemaah di masjid."


"Yalah, dah tu apa kaitan dengan A'isyah?"


"Tak adalah.." Diam sekejap.


"Abah kenapa?" Tergelak lagi.


"Abah cuma fikir.. Bestnya kalau dapat menantu macam tu kan."


"Abah!"


.
.
.


Cerita ni tak ada kaitan dengan yang hidup dan mati 😂







Comments

  1. fuyooooooo Pakcik tu betul ii tak bertapis. Hamnpir tersedak aye dibuatnya. Nampaknya A'isyah Humairah dah dapat greenlight tu heheheheh. Semoga urusan merek dipermudahkan Aamiin.

    ReplyDelete
  2. HUWAAAA AKAK JAJWDDBSNNWNESNNSAJ

    ReplyDelete
  3. hikss bestnya story ni🤭sakit pipi saya tersengihh je seoanjang baca😮‍💨

    ReplyDelete
  4. bestnyaaa akak cerita ni..bnyk pengajaran lgi2 tntg ikhtilat❤️❤️

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Kisah Sofea

  Sofea ingat lagi, waktu itu dia sedang sibuk mengusahakan spa miliknya di Sungai Buloh. Dia masih bujang dan masih seorang gadis yang hanya tahu hidup bebas. Namun, dia bukanlah gadis liar. Dia cuma hidup seperti gadis biasa yang bekerjaya. Suka membeli-belah. Suka ke salon. Selalu menjaga kecantikan wajah. Tak hairanlah dia nampak sentiasa cantik dan elegan.  Namun, tiba-tiba papa menyuruhnya berkahwin dengan seorang lelaki entah dari mana. Papa kata lelaki itu anak kawan papa. Bagi Sofea, bila dia dengar sahaja suruhan itu dia ketawa. Sebab apa yang berlaku ini sudah seperti drama pukul tujuh. Kahwin paksa? Yes.  Tapi dia tak terus bantah bila papa suruh jumpa dahulu lelaki itu. Baginya, papa tak mungkin nak kahwinkan dia dengan lelaki entah dari ceruk mana. Pastinya lelaki itu pun bukan sebarangan lelaki.  Kali pertama jumpa lelaki bernama Harun itu, perkara paling awal masuk dalam kepala Sofea ialah Harun seorang yang tampan dan segak! Buat dia bersinar-sinar mata melihat lelaki

Uwais Al-Hibri

Dua puluh tujuh tahun bukanlah waktu yang singkat. Dalam dua puluh tujuh tahun pelbagai perkara boleh berlaku. Kelahiran. Kematian. Bencana. Perubahan. Berbagai-bagai rencah pahit dan manis. Dan tiada siapa mampu mengumpulkan kisah di sebalik dua puluh tujuh tahun yang sungguh panjang ini.  Dia sudah turun dari untanya. Merenung lama pada kota yang sudah hampir tiga dekad dia tinggalkan. Nampaknya kota ini sudah semakin maju. Ternampak jelas sebuah kubah masjid yang sangat besar di tengah-tengah kota tersebut. Sebelum ini, masjid itu hanya kecil dan sederhana.  Tali unta ditarik. Memimpin bersama memasuki kota. Seluruh jiwanya diserbu rindu sebaik kakinya menapak tanah airnya ini. Beberapa penduduk ada yang menegurnya namun dia tahu, tiada siapa mengenalinya. Wajahnya sudah semakin tua. Tidak lagi gagah perkasa seperti dulu. Maka dia hanya mampu lemparkan senyuman pada penduduk yang rata-rata berwajah baru itu.  Dia masih ingat kedudukan kota ini, setiap jalannya dan setiap rumahnya. C

Kisah Harun

  Tak semua perkahwinan itu bahagia. Bila pasangan kedua-duanya sibuk dengan kerja tanpa ada sesiapa cuba bertolak ansur untuk memberi ruang waktu bersembang - akhirnya pernikahan itu hanya tinggal menetap dalam sebuah rumah dan hanya berkongsi bumbung yang sama. Bersua muka jarang sekali. Saling berbalas senyuman pun hanya setahun sekali. Hendak bersembang? Jangan diharap. Itulah hubungan antara dia dan Sofea sejak hotelnya makin membangun dan spa Sofea makin dikenali ramai. Dua-dua sibuk. Dua-dua tak ada masa untuk duduk rumah. Rumah besar dan mewah itu hanya tinggal perhiasan. Langsung tidak dihargai mereka berdua. Apatah lagi Sofea yang ada rumah sendiri berdekatan spanya. Memang tidak mungkin wanita itu akan balik pada hari biasa. Selalunya Harun akan sendirian sahaja di malam hari di rumah ini. Harun dah biasa. Makan sendirian. Tidur  sendirian. Tonton tv sendirian. Semua itu jadi rutin untuknya. Sofea hanya balik rumah ini pada hujung minggu. Itupun belum tentu. Selalunya