Skip to main content

Kisah Sofea

 


Sofea ingat lagi, waktu itu dia sedang sibuk mengusahakan spa miliknya di Sungai Buloh. Dia masih bujang dan masih seorang gadis yang hanya tahu hidup bebas. Namun, dia bukanlah gadis liar. Dia cuma hidup seperti gadis biasa yang bekerjaya. Suka membeli-belah. Suka ke salon. Selalu menjaga kecantikan wajah. Tak hairanlah dia nampak sentiasa cantik dan elegan. 


Namun, tiba-tiba papa menyuruhnya berkahwin dengan seorang lelaki entah dari mana. Papa kata lelaki itu anak kawan papa. Bagi Sofea, bila dia dengar sahaja suruhan itu dia ketawa. Sebab apa yang berlaku ini sudah seperti drama pukul tujuh. Kahwin paksa? Yes. 


Tapi dia tak terus bantah bila papa suruh jumpa dahulu lelaki itu. Baginya, papa tak mungkin nak kahwinkan dia dengan lelaki entah dari ceruk mana. Pastinya lelaki itu pun bukan sebarangan lelaki. 


Kali pertama jumpa lelaki bernama Harun itu, perkara paling awal masuk dalam kepala Sofea ialah Harun seorang yang tampan dan segak! Buat dia bersinar-sinar mata melihat lelaki tersebut. Keduanya, lelaki itu baik! Bukanlah jahat seperti kebanyakan drama. 


Dan paling penting, Harun sangat baik dengan papa mama. 


Awalnya, Sofea malas hendak fikirkan tentang perkahwinan dan sebagainya ini. Dan dia pun tidak ambil peduli sangat berkenaan Harun. Baginya, Harun hensem dan kaya tapi tidak cukup untuk buat dia terasa nak kahwin dengan lelaki itu. Tapi bila papa banyak kali sangat desak dia supaya kahwin, apa lagi, panas juga hatinya. Sebulan juga dalam keadaan begitu, akhirnya dia bersetuju. Yalah, bila difikirkan balik tak rugi pun dia kahwin dengan pemilik hotel itu. Untung-untung dapat juga kredit dari hotel. Heh. 


Dan tak mengejutkan bila Harun pun tiba-tiba setuju. 


Akhirnya awal tahun lepas mereka berkahwin. Dengan majlis yang gah gemilang bagai meraikan pasangan yang sudah lapan tahun bercinta, mereka disatukan. Sedangkan Harun dan Sofea langsung tidak saling mengenali. Parahnya, selepas berkahwin, mereka langsung tidak cuba untuk mengenali. Seorang duduk di selatan, seorang lagi duduk di utara. Berjauhan sentiasa. Dan tidak pernah ada jalan langsung untuk duduk bersama. 


Sekali, bila papa belanja mereka untuk ke Spine. Kononnya honeymoon. Mereka pergi tanpa perasaan. Sofea tak nak keluar hotel sebab sejuk. Harun pula lebih gemar duduk di kafe menyiapkan kerja. Dan lagi teruk, Harun menyewa bilik lain sebab Sofea tak buka pintu waktu dia nak masuk. Memang merempat terus dia di luar waktu itu. Sofea masih ingat waktu itu dan bila diingatkan balik, kejam juga dia rupanya. 


Genap setahun lapan bulan perkahwinan mereka. Sofea tetap tidak mengambil peduli dengan rumahtangga ini. Dia sibuk dengan spa dia. Harun pun sibuk dengan hotelnya. Terasa sudah lama mereka tak bersua muka. Mungkin dalam dua minggu. Sofea tak sempat lagi jenguk rumah banglo Harun dalam bulan ini. Malas nak drive ke sana. 


Namun tidak semena-mena kawan baiknya Asya yang juga bekerja sebagai setiausaha Harun menyampaikan satu gosip hangat padanya, Harun ada mengambil seorang pekerja perempuan untuk menggantikan Mak Kinah. Perempuan itu bujang dan jelas Harun meminati perempuan itu. 


Mendengarkan berita itu, perkara pertama dia rasa ialah tiada apa-apa. Kosong. Dengarkan yang suaminya meminati perempuan lain seolah mendengar sepupu jiran sebelah rumah baru berkahwin. Tak ada kaitan. Dan tak perlu diambil tahu. Baginya Harun berhak untuk mencintai perempuan lain, sebab dia sendiri tak beri apa-apa komitmen sebagai seorang isteri. 


Entah kenapa, dia memang tak rasa apa-apa. Hidupnya berjalan seperti biasa sahaja. 


Namun, hari itu, dia terasa hendak ke banglo Harun. Maka dia memandu ke sana. Kononnya hendak mengambil barang. Sesampai di sana, baru selangkah hendak masuk ke rumah. Dia terdengar orang sedang bergelak ketawa. Terhenti langkahnya tika itu. 


"Lepas tu, saya pun cubalah tarik pintu tu. Tiba-tiba tombol dia pulak tercabut." Suara seorang perempuan kedengaran disusuli dengan tawa lucu. 


Dia juga dengar tawa Harun bersama tawa perempuan itu. 


"Masalahnya, saya mana tahu.. Saya mana tahu yang sebenarnya, tombol dia tu memang dah longgar kan. Saya try lah tarik. Tak tahu kenapa tiba-tiba boleh tertanggal. Memang habislah semua kawan-kawan saya dekat belakang tu. Kena langgar dengan saya." 


Sofea tersenyum senget mendengar tawa gadis itu diselangi tawa Harun. Kedengaran sangat gembira. Dia tercebik mengajuk Harun. 


"Happy betul you eh." Dia tertawa sebelum kembali ke keretanya. Tak jadi nak masuk rumah bila dengar drama sebabak itu. Mungkin lain hari dia datang semula. 


Dan beberapa hari kemudian, dia memang ada barang hendak diambil dari banglo Harun. Maka dia pun memandu ke sana lewat petang itu. Sesampai sudah maghrib. Apabila masuk ke banglo itu, terlihat sangat kemas dan bersih. Malah wangi sekali. Apabila Sofea menghidu lebih kuat. Dia dapat hidu haruman perempuan. Langsung dia tersengih. 


"Kalau aku macam isteri lain, memang habis laki aku ni." Dia tergelak-gelak. Kemudian dia naik ke atas. Selamba sahaja. Apabila dia lalu di depan pintu bilik Harun, dia ternampak Harun sedang membaca mesej seseorang di telefon. Tersengih-sengih bagai sedang berbalas mesej dengan buah hati. 


Sofea menggeleng kepala. Angau sungguh suaminya itu. Dia masuk ke biliknya dan membersihkan diri. Selepas jam sembilan dia keluar semula. Terdengar suara televisyen terpasang. Apabila sampai di aras bawah, dapat dia lihat Harun sedang menonton TV sambil mencicip kopi. 


Sofea duduk di meja sambil makan yogurt manakala Harun khusyuk dengan movie hollywood dia. Masing-masing buat tak peduli. Harun pun hanya sekilas pandang dia, tak pula bertanya sampai bila ataupun kenapa balik. Ini sudah dikira tak ambil peduli langsung. Sehinggalah ketika itu, Sofea teringat akan gosip hangat dari Asya dan juga tawa gembira Harun bersama gadis yang dikatakan Asya bernama Wawa itu. Maka dia pun memulakan kata pada Harun. Sengaja ajak lelaki itu bersembang. Bosan juga hadap telefon dari tadi. 


Awalnya, dia fikir nak menyakat Harun. Sengaja gertak Harun untuk kahwin dua. Nak jugak tengok jika Harun berani atau tak. Tapi lain pula jadinya bila Harun cakap dia tak pernah terfikir nak duakan Sofea. Tercengang sekejap Sofea bila Harun kata begitu. Tak sangka. Tapi dia lebih bijak bermain kata, mengakhiri perbualan itu dengan memberi pendapat agar menceraikannya. 


Ah. Memang itulah sepatutnya dilakukan awal-awal dahulu. Mereka bukannya saling mencintai. Bukan juga saling mengenali. Mereka tak ubah seperti orang asing. Kenapa dia tak pernah terfikir untuk mengucap kata cerai. Sekurangnya tidaklah dia rasa tergantung begini. 


Untuk malam itu, Harun hanya tercengang mendengarkan permintaan Sofea. Sedang Sofea seakan kagum dengan diri sendiri yang berani mengatakan perkara tersebut. 


Namun, beberapa hari kemudiannya - Sofea sedikit terganggu bila teringatkan kembali kata-kata Harun. 


"I tak pernah terfikir nak menduakan you."


Aneh. Kenapa Harun tak pernah terfikir nak kahwin satu lagi? Kan dia sukakan Wawa? 


Pelik betul. 


Sehinggalah sampai satu berita dari Asya yang Wawa telah pun berhenti kerja di banglo Harun. Dan dari cerita Asya, Wawa nampak tak selesa dengan Harun. Mula menjauhi lelaki itu. Bertambahlah curiga Sofea waktu itu. Dia yang asalnya tak pernah nak ambil tahu pun tentang Harun tiba-tiba rasa tertarik nak tahu apa terjadi. 


Maka hari itu juga dia datang ke banglo Harun. Ternampak Harun sedang berehat-rehat di depan kolam renang. Dia menyapa lelaki itu. Mula bersembang tentang Wawa. Seperti sebelum ini dia sengaja membangkitkan tentang cerai. Namun, Harun tidak suka akan topik itu. Malah marah apabila Sofea menyebut tentang cerai. 


Anehnya, daripada bersembang tentang Wawa. Tiba-tiba perbualan itu berubah menjadi permintaan Harun agar mereka sama-sama memulihkan rumahtangga ini. 


Benar-benar buat Sofea tergamam. 


Harun demam kah? 


Tiada angin mahupun ribut tiba-tiba sahaja ajak berbaik? Eh, tidak. Mereka tidak pernah bergaduh. Cuma kenapa tiba-tiba hendak baikkan rumahtangga ini? Terdengar kelakar. 


Tidak cukup dengan itu, Harun mengajaknya ke luar negara. 


Harun mengajaknya untuk menunaikan umrah bersama-sama. 


"You demam ke?" Terkeluar juga soalan itu dari Sofea. Memandang curiga pada Harun. Dengan pantas, dia merasa dahi Harun. Manalah tahu lelaki ini betul-betul demam. 


"No." Harun menurunkan tangan Sofea dari dahinya. "I serius. Kita pergi umrah." Tangan Sofea digenggam. Betul-betul memaksudkannya. 


Sofea terkebil-kebil. 


"Tak ada angin tak ada ribut. Tiba-tiba je you ni?" tangan dalam genggaman Harun dilepaskan. Dia kemudian ketawa pelik. "Dahlah you. Tak payah mengarut. Kita takkan boleh baiki dah pun rumahtangga ini. Cubalah you tengok. Dalam hati kita ini ada ke perasaan apa-apa? I tak rasa apa pun." Sofea tak dapat membayangkan jika dia boleh jatuh suka dengan Harun. Eee geli. 


Harun mengeluh panjang. "So, you tak nak pergi umrah?"


"Kalau nak pergi pun, bukan untuk elokkan hubungan kita." Sofea jegilkan mata. 


"Okay." Harun meraup wajah. Tak faham kenapa Sofea begitu keras hati untuk memulihkan hubungan rumahtangga mereka. 


"Apa kata kalau kita buat deal?"


"Deal apanya?" Sofea naikkan mata ke atas. 


"Kita akan berpisah." Harun menyatakan itu dengan sedikit sukar. Terangguk-angguk. 


Sofea terkejut. "Woh." Tak sangka secepat itu keputusan Harun. 


"Tapi dengan syarat." Harun bermain kata. 


"Okay? Syarat apa?" Sofea tertarik. 


"You kena buat umrah dengan I. Dua minggu. And lepas tu kita berpisah." Harun serius. 


Sofea berfikir sejenak. "Kenapa kena buat umrah jugak?" keningnya terjongket. 


"Itu sebagai perkara terakhir yang kita buat sebelum berpisah?" Harun turut menjongket kening. 


Sofea berfikir lagi. Mengusap dagu. "Okay. Jadi I cuma kena tunaikan umrah dengan you. Lepas tu, kita cerai?" 


Harun angguk. 


"Okay. Good." Sofea berpuas hati. 


"Deal?" 


"Deal."


.

.

.


Tiga bulan waktunya dari antara deal Harun dan Sofea sehinggalah sekarang, mereka hendak menunaikan umrah. Dalam tiga bulan ini, jadual mereka sangat padat. Mereka perlu menjalani kursus umrah memandangkan ini kali pertama mereka menjejak kaki ke sana. Mereka perlu menguruskan visa dan juga pasport. Dan banyak lagi perkara lain. Apatah lagi mereka berdua perlu meninggalkan kerja masing-masing yang pastinya sangat penting bagi mereka. 


Dalam tiga bulan ini, Sofea belajar juga untuk bertudung. Apabila datang ke kursus umrah, dia pakailah. Tapi bila ke tempat lain, dia tetap Sofea Insyira yang tidak kesah tentang orang. Sepanjang waktu ini jugalah, kerap Sofea dan Harun keluar bersama kerana hendak ke kursus bersama-sama. Ataupun hendak membeli barangan umrah. Dan paling penting, untuk pulang ke rumah ibu bapa mereka. 


Tiba-tiba sahaja Harun dan Sofea jadi lebih rapat dari biasa apabila Sofea kerap bermalam di banglo Harun. Tapi hakikatnya, hubungan mereka tetap begitu. Tidak seperti suami isteri. Tetapi seperti kawan serumah sahaja. 


Hari ini, mereka sudah bersedia untuk bertolak ke tanah haram. Bergamitan di lapangan terbang. Bersama mereka beberapa orang jemaah lain yang juga menempah pakej seperti mereka. Ini pakej mahal. Dapatlah naik bussiness class dalam flight. Dapat menginap hotel mewah. Kemudahan yang selesa. Memang berpatutan dengan harganya. Harun mahukan pakej ini. Kerana dia tidak mahu Sofea tidak selesa nanti bila sampai di sana. 


Benarlah, apabila sampai di sana, Sofea agak cerewet. Dia tak sukakan musim sejuk. Kebetulan pula Madinah ketika ini sedang sejuk, sering sahaja merungut apabila terpaksa berada di luar lama-lama. Tapi Harun layankan sahaja. Tidak marah pun pada Sofea. Dia sudah kenal isterinya ini. 


Namun, ada satu perkara yang buat Sofea tak berpuas hati teramat sangat. 


Apabila dia terpaksa berkongsi bilik dengan Harun. Itu dia sangat-sangat tidak berpuas hati. Kenapa perlu berkongsi bilik? Harun kan kaya, sewalah dua bilik!


"Okay. Kenapa kita kena kongsi bilik?" Sofea bertanya sambil memeluk tubuh. Mukanya jelas tak berpuas hati. Hanya perhati Harun yang sedang keluarkan baju dari bagasi. 


Harun pandang dia sekilas. Sebelum kembali pandang bagasi. "Apa salahnya? Kita kan suami isteri." 


Sofea tergelak mendengarkannya, "Pandai you buat lawak. Jap nak tolong gelak." 


Harun hela nafas, dia bangun selepas ambil baju. Pandang Sofea yang masih bersandar pada meja. 


"Dua minggu je, Sofea. Lepas tu kita takkan jumpa dah." Harun suarakan itu dengan wajah datar, sebelum dia pun berlalu ke bilik air. 


Yang pasti kata-kata itu buat Sofea tersenyap terus. Tawa mati serta-merta. Dia kemudian gigit daging pipi. 


Akhirnya Sofea bergerak ke katil. Termenung di situ. 


.

.

.



Bersambung!

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Uwais Al-Hibri

Dua puluh tujuh tahun bukanlah waktu yang singkat. Dalam dua puluh tujuh tahun pelbagai perkara boleh berlaku. Kelahiran. Kematian. Bencana. Perubahan. Berbagai-bagai rencah pahit dan manis. Dan tiada siapa mampu mengumpulkan kisah di sebalik dua puluh tujuh tahun yang sungguh panjang ini.  Dia sudah turun dari untanya. Merenung lama pada kota yang sudah hampir tiga dekad dia tinggalkan. Nampaknya kota ini sudah semakin maju. Ternampak jelas sebuah kubah masjid yang sangat besar di tengah-tengah kota tersebut. Sebelum ini, masjid itu hanya kecil dan sederhana.  Tali unta ditarik. Memimpin bersama memasuki kota. Seluruh jiwanya diserbu rindu sebaik kakinya menapak tanah airnya ini. Beberapa penduduk ada yang menegurnya namun dia tahu, tiada siapa mengenalinya. Wajahnya sudah semakin tua. Tidak lagi gagah perkasa seperti dulu. Maka dia hanya mampu lemparkan senyuman pada penduduk yang rata-rata berwajah baru itu.  Dia masih ingat kedudukan kota ini, setiap jalannya dan setiap rumahnya. C

Kisah Harun

  Tak semua perkahwinan itu bahagia. Bila pasangan kedua-duanya sibuk dengan kerja tanpa ada sesiapa cuba bertolak ansur untuk memberi ruang waktu bersembang - akhirnya pernikahan itu hanya tinggal menetap dalam sebuah rumah dan hanya berkongsi bumbung yang sama. Bersua muka jarang sekali. Saling berbalas senyuman pun hanya setahun sekali. Hendak bersembang? Jangan diharap. Itulah hubungan antara dia dan Sofea sejak hotelnya makin membangun dan spa Sofea makin dikenali ramai. Dua-dua sibuk. Dua-dua tak ada masa untuk duduk rumah. Rumah besar dan mewah itu hanya tinggal perhiasan. Langsung tidak dihargai mereka berdua. Apatah lagi Sofea yang ada rumah sendiri berdekatan spanya. Memang tidak mungkin wanita itu akan balik pada hari biasa. Selalunya Harun akan sendirian sahaja di malam hari di rumah ini. Harun dah biasa. Makan sendirian. Tidur  sendirian. Tonton tv sendirian. Semua itu jadi rutin untuknya. Sofea hanya balik rumah ini pada hujung minggu. Itupun belum tentu. Selalunya