Skip to main content

Kisah Harun

 

Tak semua perkahwinan itu bahagia. Bila pasangan kedua-duanya sibuk dengan kerja tanpa ada sesiapa cuba bertolak ansur untuk memberi ruang waktu bersembang - akhirnya pernikahan itu hanya tinggal menetap dalam sebuah rumah dan hanya berkongsi bumbung yang sama.

Bersua muka jarang sekali.

Saling berbalas senyuman pun hanya setahun sekali.

Hendak bersembang? Jangan diharap.

Itulah hubungan antara dia dan Sofea sejak hotelnya makin membangun dan spa Sofea makin dikenali ramai. Dua-dua sibuk. Dua-dua tak ada masa untuk duduk rumah.

Rumah besar dan mewah itu hanya tinggal perhiasan. Langsung tidak dihargai mereka berdua. Apatah lagi Sofea yang ada rumah sendiri berdekatan spanya. Memang tidak mungkin wanita itu akan balik pada hari biasa. Selalunya Harun akan sendirian sahaja di malam hari di rumah ini.

Harun dah biasa. Makan sendirian. Tidur  sendirian. Tonton tv sendirian. Semua itu jadi rutin untuknya. Sofea hanya balik rumah ini pada hujung minggu. Itupun belum tentu. Selalunya balik hanya untuk ambil barang. Hendak bercakap sepatah dengan Harun pun, tak sempat.

Harun sejujurnya kesunyian. Hidupnya terasa kosong walaupun dia berjaya meraih pencapaian terhebat dengan memajukan hotelnya. Seolah hidupnya hanya hitam putih yang kosong.

Sehinggalah dia bertemu Wawa, gadis yang bekerja di hotelnya. Dia sendiri tak tahu kenapa dia boleh menjadi selesa dengan Wawa. Seronok sahaja bersembang dengan gadis itu. Malah hendak ketawa terasa ringan sahaja. Tidak perlu dipaksa-paksa.

Apatah lagi apabila dia mengambil Wawa sebagai pekerja di rumahnya. Selama gadis itu bekerja sebagai pembantu rumahnya ini, harinya mula bersinar. Bagai disimbah pelangi selepas hanya hitam putih melakar hari-harinya.

Wawa buat penatnya seharian terasa hilang. Buat letihnya menghadap kertas dan pekerja lesap begitu sahaja. Hanya dengan bersembang bersama gadis itu, juga melihat gadis itu ketawa - semua itu menerbitkan satu perasaan asing dalam jiwa lelakinya, yang selama ini tidak pernah dirasainya bersama Sofea.

Seminggu gadis itu bekerja di rumahnya, hati lelakinya tidak mampu menahan rasa. Kesunyian yang berkarat dalam diri terasa ingin digilap. Kesepian yang selama ini menenami, terasa hendak diisi dengan tawa seorang Wawa.

Lalu, petang itu menjadi satu sejarah untuknya. Apabila dia telah pun meluahkan perasaannya pada Wawa. Hanya kerana sikap gelojohnya ingin menampung rasa sunyi, lalu dia telah mengeruhkan hubungan yang asalnya gembira.

Hakikatnya, hatinya disambut satu rasa cabaran dengan kata-kata Sofea tempoh hari. Sewaktu isterinya itu pulang ke rumah ini sekejap, mungkin hanya untuk mengambil barangannya.

"Dengar cerita, sekarang you ambil orang gaji baru."

Ketika itu dia sedang menonton TV manakala Sofea sedang makan yogurt di meja makan. Sedari tadi Sofea hanya membelek telefon tanpa sedikit pun rasa ingin berbual dengan Harun, namun tiba-tiba dia keluarkan kenyataan itu apabila terasa bosan dengan telefonnya.

"Hem." Harun balas sepatah. Kopi di tangan dihirup. Mata masih melekat di TV.

Sofea tersenyum mencebik, "Asya kata, perempuan bujang." Nama sahabat baiknya yang juga setiausaha Harun disebut.

"Heem." Lagi sekali Harun sebut sepatah.

"Apa pendapat you dengan perempuan tu?"

Untuk soalan tersebut, dahi Harun berkerut. Dia kemudian memandang ke arah Sofea. Sofea kelihatannya hanya memandang hadapan sambil menayang muka selamba.

"Apa maksud you?" Soalnya pelik. Fokus pada TV entah ke mana.

Sofea ketawa kecil, "Halah, jangan buat-buat tak tahulah, Harun." dia kemudian memandang ke arah Harun dengan senyuman senget. "You suka perempuan tu kan? Apa nama dia? Wawa?"

Muka Harun berubah.

Sofea kembali memandang hadapan. "Kalau you suka dia pun, I tak kesah. I tahu you sunyi. Tapi nak buat macamana I sibuk. Tak boleh layan you selalu. So apa salahnya you kahwin satu lagi?" Sofea selamba menyuap yogurt dalam mulut.

"You cakap apa ni Sofea?" suara Harun bergetar sedikit.

"Harun, kita kahwin bukan kerana cinta. Hanya sebab papa kita sibuk sangat kenenkan kita. Ugh. Klise. I tak cintakan you, you tak cintakan I. Kita pun bukan pernah tidur sama. Aaah I malas nak terang panjang-panjang. Tapi seriuslah, kalau you nak kahwin dengan perempuan tu, I okay je. Cuma kahwin senyap-senyaplah. Jangan sampai daddy dengan papa tahu. Kalau tak habislah you." Sofea ketawa kecil di hujung ayat.

"I tak pernah fikir nak madukan you." Harun malas layan dengan saranan Sofea. Bagi dia, itu sangat mengarut.

"So," Sofea jilat sudu sampai licin. Kemudian memandang Harun yang sedang berwajah serius di sana.

"Ceraikanlah I." Sofea tersenyum manis.

Untuk kali pertamanya, Sofea tersenyum manis. Dan Harun terpana. Bukan kerana senyuman itu, namun kerana kata-kata Sofea yang begitu yakin menyatakan permintaan tersebut.

"You pun, bukan suka dengan perkahwinan ni kan?" Dan Sofea pun bangun dari meja dan bergerak ke dapur dengan langkah selamba. Bagai tiada apa-apa yang berlaku.

Sedangkan Harun kejung di sofa ini. Tergamam dengan permintaan cerai dari mulut isterinya itu.

Maka, petang ini - apabila Wawa melayannya dengan sangat baik, melayannya bagai isteri syurga yang menyambut kepulangan suami, hatinya makin meronta kuat. Lalu dengan tekad melamar gadis itu.

Tanpa memikirkan perasaan gadis itu, tanpa memikirkan apakah reaksi gadis itu. Harun cuma ingin mengisi kekosongan hatinya. Layanan Wawa benar-benar membuatkan hatinya tersapa.

Namun, itu ialah kesilapan besar yang telah dibuatnya. Kerana keesokannya, ada sekeping surat di atas meja kerjanya. Asya mengatakan itu surat berhenti dari seorang pekerjanya. Harun yang awalnya hairan - kerana kebiasaannya surat berhenti diberi kepada pengurus HR bukannya pengarah atasan sepertinya - serta-merta faham saat membuka surat itu.

Itu surat berhenti Wawa dari bekerja sebagai pembantu rumahnya.

Mengeluh sendiri dia di situ. Dengan segera meminta Asya memanggil Wawa berjumpa dengannya. Asya patuh. Segera memberitahu Wawa bahawa Tuan Harun ingin bertemu.

Sebaik Wawa masuk ke bilik ini, Harun menarik nafas dalam-dalam. Sukar. Wajah gadis yang sering ceria di hadapannya ini bertukar suram hari ini. Jelas tidak selesa dan kekok.

"Wawa," Harun meraup wajah. "Kalau Wawa berhenti sebab apa saya cakap semalam, saya minta maaf." Sukar sekali dia mengucap kata maaf itu.

"Bukan, tuan. Saya memang nak berhenti pun." Wawa langsung tidak memandang Harun. Terkebil-kebil merenung karpet.

Harun mengetap bibir.

"Jadual saya agak padat sejak dua menjak ini. Jadi saya rasa lebih baik saya berhenti bekerja di rumah tuan. Tuan carilah orang gaji lain." Saran Wawa.

"Tapi, saya nak Wawa." Harun berkata perlahan.

Wawa tersentak dengan kata-kata itu.

"Saya tak nak orang lain. Hanya Wawa yang betul-betul faham saya. Tolong, Wawa. Jangan berhenti." Harun merayu.

Wawa menggeleng. "Saya minta maaf, tuan. Jadual saya benar-benar padat." Wawa beralasan. Dia mula rasa tidak selesa berada dalam bilik ini. Renungan Tuan Harun membuatnya gelisah.

"Okay.. Saya tahu, Wawa mula tak selesa dengan saya. Dengan apa saya cakap semalam, saya tahu Wawa akan jauhkan diri dari saya. Maafkan saya okay. Saya tak maksudkan apa-apa pun. Saya cuma terikut-ikut sangat perasaan. Tapi tolong, jangan berhenti. Saya masih perlukan Wawa di rumah itu."

"Maaf, tuan. Saya betul-betul perlu berhenti." Wawa menggenggam tangan yang membeku.

Harun menggerakkan rahang. Betapa dia menyesal kerana buat hubungan baiknya dengan Wawa jadi begini. Hanya kerana sikap gelojohnya, padahnya sungguh terasa. Wawa sudah menganggapnya sebagai lelaki miang yang ingin menduakan isteri. Pasti dia sangat menjijikkan pada pandangan Wawa sekarang.

"Baiklah kalau Wawa kata macam tu. Saya tak boleh kata apa lagi." Dengan berat hati, Harun berkata begitu. Mukanya keruh.

Wawa menarik nafas lega.

"Ka-kalau macam tu, saya pergi dulu. Terima kasih, tuan." Wawa kelam-kabut meminta diri. Hendak keluar dari bilik ini cepat-cepat.

"Wawa," Harun memanggil ketika Wawa hendak membuka pintu.

Wawa terasa tangannya menggigil.

"Hubungan saya dan Sofea tidaklah begitu baik. Saya terasa sunyi. Sebab itu mungkin saya ingin isi hati saya."

Wawa mengetap bibir.

"Maafkan saya kalau kata-kata saya semalam buat Wawa tak selesa. Lupakan sahaja okay." Harun cuba tersenyum.

Wawa tidak membalas apa-apa. Terus sahaja keluar dari bilik tersebut. Situasi ini buat dia terasa dia seperti perempuan yang ingin merampas suami orang. Dan dia benci perasaan ini.

Manakala Harun menghela nafas berat. Langsung meraup wajah. Menyesali perbuatannya.

Malam itu, begitulah dia. Tetap sahaja termenung dan sangat menyesali kata-katanya semalam. Wajah tidak selesa Wawa seakan menghantuinya. Malah dia sudah mula rindu untuk melihat Wawa ketawa.

Padan muka lah kau Harun. Lamaran itu terlalu mengejut. Apatah lagi dari lelaki yang sudah berkahwin seperti kau. Kau ingat, Wawa akan gembira?

Dia berleter pada dirinya di depan kolam renang ini. Sambil berbaring di atas kerusi. Merenung langit malam. Dia hanya berseorangan. Sofea seperti biasa, menginap di kondonya. Hari ni bukan hujung minggu. Jadi pastinya Sofea tidak akan pulang ke rumah ini.

Namun sangkaan itu meleset apabila telinganya terdengar bunyi tapak kaki sedang berjalan menghampirinya.

"Wah, termenung jauh nampak." Terdengar suara Sofea menegurnya sebelum susuk wanita itu duduk di kerusi sebelahnya. Melipat lutut elegan.

Harun berkerut menatap Sofea

"You buat apa dekat sini?" Hairan bila melihat Sofea di rumahnya.

Sofea menongkat tangan di belakang tubuh, menghela nafas panjang-panjang. "Saje. I bosan duduk kondo. So I datang sini."

"Serius?" Harun sinis bertanya. Macam tak percaya. Padahal sebelum ini Sofea juga yang suka tinggalkan dia. Belakang kepala kembali jatuh merenung langit.

"Dan I pun nak tanya you something. Apa you buat dekat si Wawa tu sampai dia berhenti kerja?" Sofea melepaskan ikatan rambutnya. Menguraikan ke belakang.

"Huh. Asya." Harun menyebut nama setiusahanya itu sedikit tidak puas hati. Sudah dapat mengagak pastinya Asya menjadi reporter tak berbayar pada Sofea.

"You buat apa? Jangan kata you buat benda bukan-bukan." Sofea menjegilkan mata.

"Tak ada masa. I pun tahu halal haram." Harun hela nafas. "I cuma ajak dia kahwin."

"Seriously?" Mata Sofea bersinar. "So apa dia cakap?" Soalnya terburu-buru.

Harun mengerutkan wajah memandang Sofea, "I tak faham. You tak jealous ke?" Soalnya sedikit aneh.

Sofea ketawa lepas dengan soalan itu. "Jealous? No way." Dia menggeliatkan bahu. Geli.

Harun makin aneh.

"Kenapa? You tak percaya?" Sofea menjongket kening.

"Sikit. Sebab kalau I, I jealous lah jugak kalau you ada suka lelaki lain." Jujur Harun berkata.

Muka Sofea berubah. Sebelum ketawa besar. "Kelakar you ni." Dia tergeleng-geleng. "Cepatlah cerita apa reaksi dia." Sofea tak sabar.

Harun menghela nafas. "Dia tak layan pun I. Dan dia berhenti kerja. You rasa?"

Sofea terangguk-angguk. "Dia reject you." kemudian Sofea ketawa lagi. Entah apa kelakarnya.

Harun memandang Sofea aneh. "Yang you banyak sangat gelak ni dah kenapa?"

"Apa? Salah ke?" Sofea menyelit rambut ke belakang.

"Tak." Harun merenung Sofea. "Cuma, pelik. Sebab dah lama tak nampak you ketawa macam tu."

Sofea terdiam. Tawanya padam. Dia jadi kekok sedikit bila Harun merenungnya sebegitu rupa.

"I.." Dia berdehem. "I naik dululah." Dia meminta diri. Bangun dari kerusi.

"Sofea." Harun terlebih dahulu memegang lengan Sofea. Menahan isterinya dari pergi.

Sofea memandang Harun. Sedikit gementar. "Kenapa?" Soalnya.

Harun bangun dari baring. Masih memegang lengan Sofea. Malah lebih erat sehingga Sofea kembali terduduk. Betul-betul di depan Harun.

"Err.. Kenapa ni? I nak pergi mandi ni. Panas." Sofea menyelit rambut dengan sebelah tangan yang bebas. Sebelah tangan lagi masih dipegang Harun. Dalam diam, dia cuba mengawal gugup.

Harun menunduk sejenak. Sebelum dia mengangkat wajah menatap Sofea.

"Sebenarnya, kenapa you terima I?" soalnya perlahan.

Sofea mengemam bibir mendengar soalan itu.

"I dari dulu nak tanya. Bila papa dan daddy sibuk nak kahwinkan kita, sebenarnya apa yang buat you nak terima I? Kita tak pernah kenal pun." Harun bertanya benar-benar dari hati. Sudah setahun usia perkahwinan mereka. Namun sedikit pun tiada waktu untuk dia bertanya dari hati ke hati dengan Sofea. Sofea asyik mengelak. Dan dia pun tidak mengambil peduli. Akhirnya, mereka tak ubah seperti orang asing.

"Hrmm.. Mungkin sebab you hensem kut. And you kaya. So I terima jelah. Why not kan? Rezeki depan mata kut." Sofea angkat bahu. Selamba dengan jawapannya.

Harun sedikit tergelak dengan jawapan itu. Terasa kelakar.

"Kenapa? I cakap benda betul. Orang gila je tolak you." Sofea menegakkan jawapannya tadi.

"Wawa tolak I." Harun berkata perlahan.

"Alaa, memanglah dia tolak you. Sebab you masih suami I. Sebab tu nak kahwin dengan Wawa, ceraikan dulu I. Lepas-"

"Sofea." Muka Harun bertukar tegang bila isu cerai dibangkitkan.

Lidah Sofea serta-merta kelu. Mata hitamnya bergerak-gerak.

"Jangan cakap tentang cerai." Pinta Harun.

"Tapi, kita tak pernah pun gembira dengan perkahwinan ini, Harun. You sendiri nampak perkara itu kan? You sendiri rasa kan?" Sofea sedikit berkerut. Tak faham kenapa Harun tak suka bercakap tentang cerai padahal isu itu sangat menguntungkan Harun.

"Ya, I rasa. I rasa sunyi. I rasa kosong. Tapi.." Harun mengeluh. "Tak boleh ke kalau kita sama-sama penuhkan kekosongan itu?" Wajahnya terangkat menatap Sofea. Mengharap.

Sofea tergamam. "Maksud you?" Suaranya sedikit terketar.

"Kita. Sama-sama baiki rumahtangga kita. Itu tak salah kan?"

"Tapi kita tak saling mencintai." Sofea tergelak pahit.

"Maka kita belajar untuk saling mencintai." Perlahan Harun balas.

"Harun.." Sofea sesak nafas. Lengan yang sedari tadi dipegang Harun dilepaskan. "Macam inilah kan.." dia menarik nafas sukar.

"You buat semua ini sebab apa? Sebab you rasa sedih bila Wawa tolak you? Kan?"

"No. Memang ini I nak buat dari dulu."

"Bohong." Sofea tergelak sinis. "Bukan you suka Wawa ke? Kenapa tiba-tiba you nak baiki hubungan kita? Patutnya you happy bila I sedia nak bercerai dengan you."

"Tapi I tak nak bercerai dengan you." balas Harun.

"Kenapa?"

"Sebab I sayangkan perkahwinan ini. I tak nak jadi lelaki lemah yang awal-awal sudah kalah dengan gelodak rumahtangga. Okay, fine. Kalau you tak sedia untuk baiki rumahtangga ini, apa kata kita jadi kawan dulu?"

"Kelakar you ni. Dahlah." Sofea rasa kelakar. Hendak bangun.

"Sofea. I tak habis cakap lagi." Tubuh Sofea dipaksa duduk kembali.

Sofea membuat muka. Tidak berpuas hati.

"Okay, macam ini." Harun tarik nafas dalam-dalam.

Sofea menunggu dengan kaki bergerak-gerak. Jelas dia resah.

"Kita ambil cuti dari kerja kita boleh tak?"

"Maksud you?" Dahi Sofea berkerut.

"You, ambil cuti dua minggu dari spa you. And I, ambil cuti dua minggu dari hotel I."

"Then?" Sofea jongket kening tak berminat.

"Kita bercuti luar negara?" Harun menjongket kening.

"Tak kelakar." Sofea naikkan mata ke atas.

"I tak buat lawak."

"Apa? You nak ajak I honeymoon ke apa? You tak ingat honeymoon kita dekat Spine dulu waktu papa dengan daddy paksa kita pergi sana.. Ugh."

"Itu lain. Ini lain." Harun tersenyum sedikit.

"Apa lainnya?" Sofea membuat muka cemberut.

"Kita pergi buat umrah nak tak?"

Wajah Sofea serta-merta berubah sebaik mendengar saranan itu. Tergamam menatap Harun.

Sedang Harun tersenyum. Entah kenapa, hatinya terasa lapang yang amat. Mungkin  kekosongan hatinya tidak perlu diisi dengan orang lain. Namun diisi dengan wanita yang sudah halal baginya. Benar, dia dan Sofea sudah jauh dari landasan agama. Maka kerana itulah, tanggungjawab dia untuk membawa kembali Sofea ke jalan sebenar.

Mungkin dengan melangkah ke tanah haram dahulu.

.
.
.

Bersambung!

Comments

Popular posts from this blog

Kisah Sofea

  Sofea ingat lagi, waktu itu dia sedang sibuk mengusahakan spa miliknya di Sungai Buloh. Dia masih bujang dan masih seorang gadis yang hanya tahu hidup bebas. Namun, dia bukanlah gadis liar. Dia cuma hidup seperti gadis biasa yang bekerjaya. Suka membeli-belah. Suka ke salon. Selalu menjaga kecantikan wajah. Tak hairanlah dia nampak sentiasa cantik dan elegan.  Namun, tiba-tiba papa menyuruhnya berkahwin dengan seorang lelaki entah dari mana. Papa kata lelaki itu anak kawan papa. Bagi Sofea, bila dia dengar sahaja suruhan itu dia ketawa. Sebab apa yang berlaku ini sudah seperti drama pukul tujuh. Kahwin paksa? Yes.  Tapi dia tak terus bantah bila papa suruh jumpa dahulu lelaki itu. Baginya, papa tak mungkin nak kahwinkan dia dengan lelaki entah dari ceruk mana. Pastinya lelaki itu pun bukan sebarangan lelaki.  Kali pertama jumpa lelaki bernama Harun itu, perkara paling awal masuk dalam kepala Sofea ialah Harun seorang yang tampan dan segak! Buat dia bersinar-sinar mata melihat lelaki

Uwais Al-Hibri

Dua puluh tujuh tahun bukanlah waktu yang singkat. Dalam dua puluh tujuh tahun pelbagai perkara boleh berlaku. Kelahiran. Kematian. Bencana. Perubahan. Berbagai-bagai rencah pahit dan manis. Dan tiada siapa mampu mengumpulkan kisah di sebalik dua puluh tujuh tahun yang sungguh panjang ini.  Dia sudah turun dari untanya. Merenung lama pada kota yang sudah hampir tiga dekad dia tinggalkan. Nampaknya kota ini sudah semakin maju. Ternampak jelas sebuah kubah masjid yang sangat besar di tengah-tengah kota tersebut. Sebelum ini, masjid itu hanya kecil dan sederhana.  Tali unta ditarik. Memimpin bersama memasuki kota. Seluruh jiwanya diserbu rindu sebaik kakinya menapak tanah airnya ini. Beberapa penduduk ada yang menegurnya namun dia tahu, tiada siapa mengenalinya. Wajahnya sudah semakin tua. Tidak lagi gagah perkasa seperti dulu. Maka dia hanya mampu lemparkan senyuman pada penduduk yang rata-rata berwajah baru itu.  Dia masih ingat kedudukan kota ini, setiap jalannya dan setiap rumahnya. C